PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyediakan peruntukan lebih RM500,000 menerusi pelbagai inisiatif digitalisasi tahun hadapan dalam usaha melonjakkan perniagaan Rakan Usahawan PUNB.
Peruntukan dalam bentuk insentif geran padanan dan subsidi untuk mempercepatkan proses adaptasi digital dalam kalangan Rakan Usahawan PUNB itu bagi memastikan usahawan Bumiputera kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam mendepani landskap ekonomi masa kini.
Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, antara inisiatif berkenaan adalah program Rakan Usahawan PUNB @ 100 Go Digital anjuran bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Ujarnya, menerusi program ini, Rakan Usahawan PUNB akan dibimbing oleh jurulatih yang dilantik oleh MDEC untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan digitalisasi dalam perniagaan.
“Ia merangkumi analisis data dan pemasaran secara digital, meneroka dan mengenal pasti solusi digital yang dapat membantu dari segi peningkatan jualan, pengurangan kos serta peningkatan produktiviti perniagaan.
“Program digitalisasi lain ialah Rakan Usahawan PUNB @ Ecommerce Onboarding yang mana Rakan Usahawan yang sudah bertapak atau ingin melakukan jualan di platform Ecommerce diberikan subsidi berbentuk baucar dan pakej promosi.
“Ini membolehkan pelanggan menikmati pembelian pada harga lebih murah seterusnya menarik lebih ramai pelanggan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut beliau, PUNB juga bakal melaksanakan permohonan pembiayaan secara digital untuk kemudahan pemohon di samping mengkaji semula tempoh proses permohonan pembiayaan.
“Buat masa ini, PUNB dalam usaha mengemas kini urusan pembiayaan yang mana tempoh pemprosesan adalah antara 35 hingga 65 hari namun tempoh ini mampu dipercepatkan.
“Misalnya tempoh pemprosesan bagi pinjaman di bawah RM200,000 diharap dapat disingkatkan dalam tempoh dua minggu berbanding 35 hari bagi membantu usahawan memulihkan perniagaan dengan lebih pantas sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi perniagaan mereka,” jelasnya.
Inisiatif lain termasuk pemberian moratorium pembiayaan perniagaan mulai 1 April 2020 hingga 31 Disember 2021 dengan nilai kutipan berjumlah RM265 juta.
Di samping itu, pengecualian pembayaran sewaan premis perniagaan PUNB mulai April hingga 30 September tahun lalu disusuli dengan diskaun sewaan premis sebanyak 50 peratus bermula Oktober 2020 hingga akhir Jun 2021.
Tambah beliau, untuk tahun ini, sasaran kelulusan pembiayaan adalah sebanyak RM189 juta membabitkan sasaran 325 syarikat dan sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak RM165.8 juta kelulusan pembiayaan telah diagihkan kepada 457 usahawan membabitkan 316 syarikat.
“Sejak penubuhan PUNB sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak RM3.5 bilion kelulusan pembiayaan perniagaan sudah disalurkan kepada 11,564 usahawan meliputi 8,086 syarikat,” jelasnya. – UTUSAN










