Program Geran Komuniti Merdeka 118 - Utusan Malaysia

Program Geran Komuniti Merdeka 118

MENARA 118 yang dibangunkan oleh PNB, merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan enam projek terpilih bagi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

Program dengan matlamat memupuk sinergi antara komuniti setempat dan pembangunan bercampur Merdeka 118 dengan kerjasama Think City Sdn. Bhd., sebuah organisasi penjanaan semula bandar itu menerima 138 permohonan dari seluruh negara selepas dilancarkan pada Jun 2021.

Proses pemilihan telah dijalankan oleh Panel Penilai yang terdiri daripada wakil PMVSB dan Think City, serta Panel Penasihat Teknikal yang diwakili oleh pakar-pakar industri dalam bidang sukan, seni, komuniti, teknologi, pemuliharaan dan warisan serta pembangunan perniagaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya berharap penerima geran yang berjaya dapat bekerjasama dan menjayakan projek-projek menarik itu demi memanfaatkan komuniti sekitar.

“Program geran ini telah membuka ruang untuk Merdeka 118 memainkan peranan dalam menggiatkan semula bandaraya Kuala Lumpur. Kami bertekad untuk mendekati dan melibatkan penduduk sekitar dan bersama-sama menyumbang dalam usaha membangunkannya menjadi sebuah presint yang berkembang maju.

“Demi mencapai matlamat ini, kami percaya projek-projek terpilih akan memberikan kesan positif terhadap masyarakat sekitar di sini dengan meningkatkan tahap keselesaan hidup di presint sambil menyokong mata pencarian penduduk setempat di samping meraikan
warisan sejarah dan budaya tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Program geran ini memberi tumpuan kepada lima lokasi penting iaitu Presint Jalan Petaling, Jalan Hang Tuah, Kampung Attap dan Pudu serta Kuadran Sukan 1.

Projek terpilih adalah Kampung Attap Collective yang menyasarkan untuk memperkaya dunia seni dan warisan di presint tersebut dengan menganjurkan pelbagai program kreatif dan projek Eat, Pray, Love di Jalan Petaling yang melibatkan aktiviti berjalan sambil bersiar-siar menyusuri bangunan warisan untuk meningkatkan penghargaan masyarakat umum terhadap sejarah ibu negara.

Selain itu, projek ialah kerja menaik taraf gelanggang bola keranjang yang terletak di Jalan Hang Jebat dan program latihan vokasional yang memberi tumpuan kepada usaha membangunkan kemahiran kulinari bagi wanita berkeperluan khas.

Turut terpilih, program Pemeliharaan Lebah Tanpa Sengat Pintar dan Program Pemerkasaan Ekonomi yang bertujuan menaik taraf kehidupan dan meningkatkan pendapatan isi rumah masyarakat B40 di kawasan sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN