Petronas, POSCO meterai MoU - Utusan Malaysia

Petronas, POSCO meterai MoU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menandatangani Memorandum Persefaham (MoU) dengan POSCO Internasional Corporation dan POSCO Engineering & Construction Co. Ltd. untuk meneroka peluang dalam teknologi pengawalan dan penyimpanan karbon (CCS) serta penyelesaian penyimpanan karbon dioksida (CO2) di Malaysia.

Kedua-dua pihak akan menilai peluang untuk membuka potensi CCS dan mengenal pasti teknologi yang sesuai dalam skop pengawalan karbon, pengangkutan CO2 dan penyimpanan untuk aplikasi yang berpotensi.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Huluan, Adif Zulkifli berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dalam membuka peluang dan potensi dengan CCS.

“Ia adalah salah satu daripada banyak usaha kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS terkemuka di rantau ini.

“POSCO ialah pengeluar keluli terbesar di Korea dan kerjasama itu akan membolehkan Petronas memanfaatkan pengalaman POSCO terutamanya dalam penangkapan dan pengangkutan karbon,” katanya dalam kenyataan sempena majlis menandatangani MoU itu.

Petronas diwakili oleh Adif, manakala POSCO International Corporation diwakili oleh Naib Presiden, Ketua Bahagian Perniagaan Tenaga, Hwang Euy-Yong dan Naib Presiden Ketua Pejabat Perniagaan Loji, Lee Gyu Chul menandatangani bagi pihak POSCO Engineering & Construction Co. Ltd.

Menerusi MoU, itu, Petronas dan POSCO akan bekerjasama dengan melaksanakan aktiviti pematangan teknikal untuk membuka potensi CCS di Malaysia.

Petronas sedang mengorak langkah untuk membina portfolio yang berdaya tahan dan mampan bagi menyokong peralihan ke arah sumber tenaga karbon lebih rendah, termasuk menilai aplikasi teknologi ke arah menurunkan pelepasan merentasi rantai nilai yang akan merangkumi pengawalan, pengangkutan dan penyimpanan karbon.

Syarikat itu juga menyasarkan untuk mencapai Sifar Bersih Pelepasan Karbon (NZCE) menjelang 2050. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN