PETALING JAYA: Pertama Digital Berhad (Pertama Digital) dan CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. (CGS-CIMB) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk membangun perkhidmatan kewangan digital dan memperkasa pelabur pasca pandemik di Malaysia.
Pengarah Eksekutif Pertama Digital, Sabri Rahman berkata, pandemik Covid-19 telah mempercepatkan permintaan untuk perkhidmatan kewangan digital, termasuk pembrokeran saham digital.
Beliau berkata, terdapat peluang memberi semua individu untuk mengakses pasaran modal, tanpa mengira latar belakang mereka.
“Melalui model yang lebih saksama yang dikuasakan oleh digital, kami bercita-cita untuk menawarkan kaedah bagaimana rakyat membina kekayaan dalam tempoh lebih 10 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutid CGS-CIMB, Ruzi Rani Ajith berkata, sebagai penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu di Asia, syarikat komited untuk menggunakan kepakaran dan sumbernya ke arah peluang demi kepentingan negara.
“Sebagai contoh, kami berminat untuk meningkatkan akses kepada produk pasaran modal Islam melalui saluran digital kepada khalayak yang lebih luas di peringkat tempatan dan serantau,” katanya.
Melalui kerjasama itu, Pertama Digital dan CGS-CIMB akan menggabungkan kekuatan masing-masing untuk mencipta produk yang boleh dipercayai dengan tumpuan terutama terhadap keperluan pelanggan runcit.
Ia sebagai sokongan kepada Pelan Induk Pasaran Modal 3, yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada 21 September lalu.
Kepakaran Pertama Digital terletak pada keupayaan untuk memacu penerimaan digital oleh orang ramai, seperti yang ditunjukkan dalam penyelesaian pembayaran jaminan digital yang diterima pakai secara meluas, eJamin.
CGS-CIMB ialah usaha sama antara CIMB Group Sdn. Bhd. dan China Galaxy International Financial Holdings Limited, anak syarikat milik penuh China Galaxy Securities Co. Ltd. – UTUSAN










