PETALING JAYA: “Bagai melihat cahaya di hujung lorong gelap.”
Itu antara luahan Pengurus Kedai Buku Minerva, Abdul Halim Hussain, 54 apabila kerajaan membenarkan banyak sektor perniagaan kembali beroperasi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.
Apa yang menggembirakan dia, perniagaan warisan turun temurun daripada keluarga sejak tahun 1954 kini boleh diteruskan dan tidak ‘pupus’ ekoran penularan wabak Covid-19.
Malah, dia sangat bersyukur selepas kerajaan dalam masa yang sama turut memberikan bantuan untuk merancakkan
semula sektor ekonomi, sekali gus menjana pendapatan bukan sahaja kepada negara, tetapi kepada rakyat.
“Kami rasa inilah keperitan paling teruk sejak perniagaan ini diusahakan pada tahun 1954. Kegawatan ekonomi pun tidak seperti apa yang berlaku pada hari ini. Mujur kerajaan prihatin dan sedar kepentingan rakyat untuk meneruskan kehidupan.
“Walaupun hanya beberapa bulan sahaja kedai dibenarkan beroperasi semula, ia setidaktidaknya memberi kami nafas kembali. Pekerja juga dapat kembali bekerja seperti biasa dan menerima gaji penuh untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kedainya yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman beroperasi dari pukul 9.30 pagi sehingga 6.30 petang termasuk pada hujung minggu.
Tambah Abdul Halim, dia turut bersyukur apabila melihat kehidupan rakyat kembali seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang Covid-19.
“Hujung minggu keadaan di ibu kota ramai dengan membawa keluarga masingmasing dengan menikmati sedikit kebebasan. Apa yang saya harapkan ia berterusan.
“Justeru, kerajaan perlu terus kekalkan momentum ini agar keadaan pulih secara berterusan dan mampu merancakkan
kembali sektor ekonomi dan juga sosial,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, peniaga pakaian wanita, Saadiah Sunan, 69 berkata, walaupun perniagaannya tidak rancak
sebagaimana sebelum penularan wabak Covid-19, kebenaran operasi semula pelbagai sektor mampu menampung hidupnya.
“Sekarang saya mampu membayar sewa kedai dan meneruskan kehidupan saya seperti sediakala.
“Cuma kuasa beli rakyat agak berkurangan. Mungkin bimbang sekiranya berlaku laku peningkatan kes Covid-19 sehingga
menyebabkan PKP semula,” jelasnya. – UTUSAN