Pengecualian cukai bagi kategori tertentu FSI - Utusan Malaysia

Pengecualian cukai bagi kategori tertentu FSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengecualikan cukai ke atas pendapatan yang diterima dari luar negara (FSI) kepada pembayar cukai pemastautin berdasarkan kategori dan syarat substantif tertentu berkuat kuasa 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, pengecualian itu ialah bagi pendapatan dividen melibatkan syarikat atau perkongsian liabiliti terhad, manakala bagi kategori individu pula membabitkan semua jenis pendapatan, namun tertakluk kepada syarat kelayakan yang akan diperincikan dalam garis panduan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Jelasnya, selain daripada jenis pendapatan yang disebutkan di atas adalah tertakluk kepada pengenaan cukai di Malaysia sebagaimana dinyatakan menerusi pembentangan Bajet 2022.

“Bagi kategori pembayar cukai individu, kerajaan memberikan pengecualian kepada semua individu kecuali yang menjalankan perniagaan perkongsian di Malaysia, di mana akan tertakluk kepada cukai bagi pendapatan FSI yang diterima.

“Manakala bagi kategori bukan pemastautin (individu, syarikat, dan lain) masih kekal layak dikecualikan cukai pendapatan,” katanya hari ini.

Pada masa sama, Kementerian Kewangan memaklumkan, FSI yang diterima dalam tahun taksiran 2022 adalah dikecualikan daripada pengiraan cukai bagi tujuan Cukai Makmur.

Dalam pada itu, kata kementerian berkenaan, kerajaan juga mencadangkan kadar duti setem ke atas nota kontrak bagi dagangan saham/stok tersenarai di Bursa Malaysia dikaji semula supaya ia dinaikkan daripada 0.1 peratus kepada 0.15 peratus iaitu bersamaan dengan RM1.50 bagi setiap RM1,000 dan kenaan had duti setem RM200 bagi setiap nota kontrak berkaitan dimansuhkan.

Mengambil kira pandangan dan maklum balas dari pelbagai pihak termasuk industri pasaran saham bagi memastikan pasaran saham di Bursa Malaysia terus kekal rancak dan dinamik, katanya, kerajaan mengambil pendekatan melaksanakan inisiatif ini dengan mengenakan kadar duti setem 0.15 peratus ke atas nota kontrak bagi dagangan saham/stok dan amaun maksimum duti setem yang dikenakan bagi setiap nota kontrak ini adalah dihadkan sehingga RM1,000.

Jelasnya, amaun duti setem yang melebihi RM1,000 akan diremitkan dan peremitan ini adalah terpakai kepada semua nota kontrak bagi tempoh mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026 bagi dagangan saham/stok yang disenaraikan di pasaran Bursa Malaysia yang diluluskan di bawah subseksyen 8(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

“Kerajaan akan sentiasa memastikan layanan cukai kepada pembayar cukai adalah berdasarkan prinsip adil dan saksama selain kekal komited terhadap pematuhan amalan terbaik percukaian di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN