PETALING JAYA: Kadar pengangguran negara jatuh ke paras 4.3 peratus pada Oktober lalu, paras terendah yang dicatatkan sejak April 2020.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi, sosial dan rekreasi secara berterusan telah mendorong kedudukan tenaga buruh kekal stabil pada bulan tersebut.
Kata beliau, ia digambarkan melalui bilangan guna tenaga yang lebih tinggi dan trend pengangguran yang menurun.
“Pada Oktober lalu, sebahagian besar negeri telah beralih kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan peningkatan kadar vaksinasi keseluruhan, manakala bilangan kes harian Covid-19 menunjukkan tanda pengurangan.
“Perkembangan yang baik ini telah membawa kepada pembukaan semula aktiviti ekonomi termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri.
“Di samping itu, lebih banyak destinasi pelancongan domestik telah dibuka kepada individu yang lengkap vaksinasi, sekali gus menggalakkan lebih banyak aktiviti perjalanan dan pelancongan domsetik pada bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Mohd. Uzir, trend pertumbuhan pendudukan bekerja berterusan pada Oktober dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 15.55 juta orang dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.3 mata peratus kepada 65.8 peratus.
Sementara itu, jelas beliau, bilangan penganggur terus berkurang sebanyak 3.4 peratus, merekodkan 705,000 orang penganggur.
Namun, beliau menjelaskan, secara relatif bilangan tersebut masih lebih tinggi berbanding tempoh sebelum pandemik.
“Bilangan tenaga buruh pada Oktober meningkat meningkat sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.26 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh terus meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 68.8 peratus,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, daripada keseluruhan bilangan penganggur pada bulan tersebut, 83.6 peratus adalah penganggur aktif yang berkurang 3.5 peratus kepada 589,500 orang.
“Dari segi tempoh pengangguran, kumpulan yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 55.5 peratus manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 7.8 peratus,” katanya. – UTUSAN










