Pasaran kewangan domestik pada November terjejas akibat Omicron - Utusan Malaysia

Pasaran kewangan domestik pada November terjejas akibat Omicron

Dalam memacu agenda kelestarian, antara cabaran utama yang dikenal pasti dalam Laporan Landskap Kewangan Mampan di Malaysia ialah kualiti dan ketersediaan data yang lemah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran kewangan domestik terjejas akibat kebimbangan berhubung varian Omicron pada November lalu, lapor Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut bank pusat itu, pada akhir November, sentimen pelabur global didorong terutamanya oleh kemunculan varian baharu iaitu Omicron, yang mengatasi kebimbangan berhubung tekanan inflasi yang
berterusan dalam ekonomi maju.

“Akibatnya, kadar hasil bon global, termasuk penanda aras kadar hasil MGS 10 tahun, menurun serentak dengan penurunan kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) jangka panjang.

“FBM KLCI menurun sebanyak 3.1 peratus dan ringgit menyusut nilai sebanyak 2.0 peratus berbanding dengan dolar AS, selaras dengan kebanyakan mata wang serantau.

“Harga komoditi yang lebih lemah berikutan kebimbangan berhubung dengan varian baharu turut menjejaskan kadar pertukaran ringgit,” jelasnya dalam kenyataan sempena Sorotan Bulanan November 2021.

Menurut BNM, permodalan sistem perbankan pada bulan berkenaan bagaimanapun kekal kukuh dengan bank-bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh bagi menghadapi tekanan yang mungkin berlaku dan menyokong
pertumbuhan kredit dalam ekonomi.

“Lebihan penampan modal sistem perbankan kekal kukuh pada RM122.3 bilion pada November 2021,” jelasnya.

Malah katanya, kualiti aset sistem perbankan juga kekal utuh dengan bank-bank terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan
sementara.

Jelasnya, meskipun nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil pada 1.5 peratus dan 0.9 peatus, jumlah pinjaman terjejas mencatatkan penurunan yang sedikit (-2.1 peratus) berbanding bulan sebelumnya.

“Jumlah peruntukan yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit pada masa ini berada pada 1.9 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan,” jelas BNM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN