Omicron tidak jejas permintaan, harga minyak mentah naik - Utusan Malaysia

Omicron tidak jejas permintaan, harga minyak mentah naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Harga minyak terus meningkat pada Isnin selepas pelabur bertambah yakin varian Covid-19, Omicron tidak menyebabkan penyakit teruk dan berkemungkinan akan memberi kesan terhad kepada permintaan bahan api global.

Niaga hadapan Brent naik 94 sen, atau 1.3 peratus kepada AS$76.09 (RM321.29)  setong selepas kenaikan satu peratus pada Jumaat.

AS West Texas Intermediate (WTI) menokok AS$1.05, atau 1.5 peratus kepada AS$72.72 (RM307.06) setong, berikutan kenaikan satu peratus pada sesi sebelumnya.

Kedua-dua penanda aras mencatatkan keuntungan kira-kira lapan peratus minggu lepas, keuntungan mingguan pertama mereka dalam tujuh minggu, sekali gus memulihkan lebih separuh daripada kerugian yang dialami sejak kemunculan varian tersebut pada 25 November.

Para saintis Afrika Selatan tidak melihat sebarang tanda bahawa varian Omicron menyebabkan penyakit yang lebih teruk.

Suntikan penggalak Covid-19 dengan ketara memulihkan perlindungan terhadap penyakit ringan yang disebabkan oleh varian Omicron, kata pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK) pada Jumaat.

Pelabur memerhati dengan teliti Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+), dalam mesyuarat seterusnya pada 4 Januari. Mereka bersetuju awal bulan ini untuk berpegang pada dasar sedia ada iaitu kenaikan pengeluaran minyak bulanan.

Menteri minyak Iraq berkata, beliau menjangkakan OPEC pada mesyuarat akan datang bakal mengekalkan dasar semasa kenaikan bulanan secara beransur-ansur dalam bekalan sebanyak 400,000 bpd.

Pasaran memberi sedikit reaksi terhadap pengumuman pada Jumaat lalu oleh Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS) bahawa ia akan menjual 18 juta tong minyak mentah daripada rizab petroleum strategik (SPR) pada 17 Disember, sebagai sebahagian daripada rancangan sebelum ini untuk cuba mengurangkan harga petrol.

“WTI mungkin akan menguji paras tertinggi baru-baru ini pada AS$73.34 (RM309.68) dan seterusnya cuba meningkat ke arah AS$78, paras sebelum kebimbangan Omicron membawa kepada penjualan mendadak akhir bulan lalu,” kata penganalisis di Fujitomi Securities Co Ltd., Toshitaka Tazawa.

Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, pada Ahad meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.9 peratus tahun ini diikuti pertumbuhan 7.4 peratus pada 2022, menurut dokumen belanjawan.

Kerajaan itu tidak mendedahkan harga minyak yang diandaikan untuk mengira belanjawannya, tetapi Monica Malik, ketua ekonomi di Bank Komersial Abu Dhabi, menganggarkan ia mungkin mendasarkan belanjawannya untuk 2022 pada andaian harga minyak yang boleh serendah AS$50 (RM211.13) hingga AS$55 (RM232.24) setong. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN