Minyak kelapa sawit terus dominasi perdagangan sektor pertanian - Utusan Malaysia

Minyak kelapa sawit terus dominasi perdagangan sektor pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minyak kelapa sawit terus mendominasi perdagangan sektor pertanian sejak 1990 apabila menyumbang 40.7 peratus daripada perdagangan sektor itu pada 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pada tahun tersebut juga, Malaysia menyumbangkan masing-masing 25.8 peratus dan 34.3 peratus kepada pengeluaran dan eksport minyak kelapa sawit  dunia.

Jelas beliau, seperti yang dilaporkan dalam Ulasan Statistik Perdagangan Malaysia (MTSR), sektor pertanian muncul sebagai sektor kedua terpenting perdagangan Malaysia pada 2020 dengan sumbangan 6.8 peratus, mengatasi perdagangan hasil perlombongan.

“Sumbangan keluaran pertanian kepada jumlah dagangan Malaysia pada 1990 ialah 13.7 peratus, merosot kepada 6.8 peratus pada 2020.

“Produk pertanian eksport utama Malaysia pada 2020 terdiri daripada minyak kelapa sawit, kayu balak, kayu gergaji dan kayu kumai serta getah asli,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, menurut Mohd. Uzir, eksport getah Malaysia pada 2020 bernilai RM3.3 bilion, 0.3 peratus daripada jumlah eksport.

Jelas beliau, Malaysia mendapat manfaat daripada pandemik Covid-19 apabila muncul sebagai pengeluar utama sarung tangan getah dunia pada 2020 dengan eksport berjumlah RM35.9 bilion, meningkat 104.5 peratus tahun ke tahun dan menyumbang kepada peningkatan import getah asli.

“Malaysia yang dulunya adalah pengeksport bersih makanan laut telah bertukar kepada pengimport bersih dengan nilai import RM3.4 bilion pada 2020.

“Malaysia mengimport makanan laut terutamanya ikan yang dibekukan, ikan segar atau disejukkan dan kepingan isi ikan.Hasil laut yang dieksport terdiri daripada krustasea dan ikan yang dibekukan.

“Pada masa sama, Malaysia turut  mengimport 30 hingga 40 peratus daripada keperluan beras negara. Malaysia mengimport sejumlah RM2.5 bilion beras pada 2020 terutamanya dari Vietnam, India dan Pakistan,” katanya.

Jelas Mohd. Uzir, walaupun sumbangan sektor pertanian secara relatif kepada ekonomi dan perdagangan Malaysia semakin mengecil dari tahun ke tahun, sektor ini sentiasa signifikan terutamanya sebagai pembekal utama makanan serta bahan mentah kepada industri berasaskan sumber.

“Sehubungan itu, usaha penyelidikan perlu dipertingkatkan ke arah teknologi mampan untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti barangan berasaskan pertanian, seterusnya memenuhi keperluan penduduk dan permintaan dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN