MAS guna minyak masak terpakai - Utusan Malaysia

MAS guna minyak masak terpakai

JURUTERBANG dan kru MAS A300-200 yang terlibat dalam penerbangan pesawat itu dari Amsterdam ke KLIA menggunakan bahan api campuran minyak masak terpakai dan SAF. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cipta sejarah pesawat komersial pertama guna campuran SAF

SEPANG: Pesawat Malaysia Airlines (MAS) mencipta sejarah menjadi pesawat komersial ber­daftar pertama melakukan pe­nerbangan menggunakan bahan bakar campuran minyak masak terpakai dan Sustainable Aviation Fuel (SAF) dari Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

Pesawat Airbus A300-200 itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.55 tengah hari waktu tempatan dan tiba di KLIA pukul 9 pagi semalam dengan penerbangan selama lebih 12 jam. Ia menggunakan bahan bakar campuran minyak terpakai dan 38 peratus SAF.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail, penerbangan tersebut adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang berdaftar untuk menggunakan SAF sebagai bahan bakar.

“Penerbangan ini adalah yang pertama di Malaysia yang berdaftar untuk menggunakan SAF sebagai bahan bakar bagaimanapun sejak 2016 sudah lebih daripada 370,000 penerbangan dari 45 syarikat penerbangan yang menggunakannya.

“Jadi, bangga untuk kami umumkan bahawa Malaysia Airlines kini tersenarai dalam kumpulan yang menyokong sasaran jangka masa panjang iklim industri penerbangan,” katanya ketika berucap pada majlis me­nyambut ketibaan pesawat berkenaan di KLIA di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan MAG, Tan Sri Wan Zulkifli Wan Ariffin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr. Noor Zari Hamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani.

Kejayaan operasi itu merupakan kerjasama di antara rakan dagangan Petronas di Eropah iaitu PETCO Trading (UK) Ltd. dan Neste yang merupakan peneraju penghasil diesel boleh diperbaharu dan SAF yang diperhalusi daripada sisa bahan buangan.

Menurut Izham, MAG komited dalam menjayakan inisiatif kelestarian demi penambahbaikan industri penerbangan, organi­sasi serta negara termasuk masa depan Bumi dan SAF adalah antara inisiatif yang diambil dalam membawa agenda pelepasan karbon sifar di Malaysia.

“SAF adalah salah satu da­ripa­da penyumbang ke arah me­nyah­karbonkan industri pener­bangan dengan kemampuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 80 peratus berbanding penggunaan bahan bakar fosil.

“Penggunaannya juga adalah mudah memandangkan tidak memerlukan sebarang kelengkapan khas serta tiada sebarang modifikasi dilakukan pada pesawat. Ia boleh digunakan oleh mana-mana pesawat serta turut disahkan oleh syarikat pembuatan pesawat,” ujar beliau.

Tambah Izham, MAG me­nyasarkan semua pesawat mereka bakal menggunakan SAF sebagai bahan bakar menjelang 2050 yang sekali gus me­ningkatkan komitmen menu­ju ke arah bebas karbon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN