PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengumumkan penerbitan dan peletakan harga sukuk wakalah kanan bernilai RM800 juta dari program sukuk wakalah RM5 bilionnya dalam nilai nominal.
Menurut syarikat pengurusan lapangan terbang itu, sukuk tiga tranche itu merangkumi sukuklima tahun bernilai RM475 juta, sukuk tujuh tahun RM225 juta dan sukuk 10 tahun RM100 juta.
Katanya, ditawarkan melalui proses runding niaga, sukuk wakalah kanan tersebut menerima permintaan memberangsangkan daripada pelabur dengan jumlah keseluruhan tempahan yang diterima melebihi RM4.6 bilion pada kemuncaknya, menjadikan kadar kelebihlanggannnya lebih sembilan kali ganda daripada sasaran awal saiz terbitan pada RM500 juta.
“Tempahan yang kukuh membolehkan MAHB memperketat hasil tawarannya yang membawa kepada kadar keuntungan akhir pada 3.87 peratus setiap tahun (pa), 4.14 peratus pa dan 4.25 peratus pa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, kelebihlangganan tersebut menandakan keyakinan pasaran kepada asas yang kuat dan hala tuju strategik syarikat itu, ketika industri penerbangan menghadapi cabaran besar sepanjang pandemik Covid-19.
“Kami gembira dengan respons dan sokongan yang diterima oleh tawaran sukuk kami dan ingin berterima kasih kepada pelabur atas keyakinan mereka terhadap pemulihan dan trajektori pertumbuhan sektor, walaupun berhadapan landskap pasaran yang mencabar disebabkan pandemik global yang berterusan,” katanya.
Menurut MAHB, program sukuk wakalah yang mempunyai tempoh program berterusan membekalkan syarikat dengan keluwesan untuk menerbitkan sukuk wakalh kanan tersebut atau sukuk wakalah berterusan dari masa ke masa.
Namun, katanya, ia terhad kepada nilai nominal belum jelas tidak melebihi RM5 bilion pada satu masa.
“Sukuk wakalah kanan dan sukuk wakalah berterusan di bawah program sukuk wakalah telah diberikan penarafan AAA dan AA2 masing-masing dengan unjuran stabil oleh RAM Rating Services Berhad.
“Penarafan yang baik mencerminkan profil perniagaan MAHB yang kukuh, rekod pengurusan kewangan yang cermat dan kepentingan strategik perniagaan MAHB kepada kerajaan Malaysia dari segi peranannya sebagai pengoperasi tunggal kesemua 39 lapangan terbang milik kerajaan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










