MAHB ganti Aerotrain KLIA - Utusan Malaysia

MAHB ganti Aerotrain KLIA

PERKHIDMATAN aerotrain yang beroperasi sejak 25 tahun lalu sering mengalami gangguan perkhidmatan sehingga menyebabkan ketidakcekapan operasi serta ketidaksenangan kepada penumpang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memulakan penggantian Penggerak Penumpang Automasi (APM) yang turut dikenali sebagai sistem Aerotrain yang telah beroperasi sejak 23 tahun lalu.

Menurut syarikat pengurusan lapangan terbang itu, sistem Aerotrain itu sering mengalami gangguan perkhidmatan, menyebabkan ketidakcekapan operasi.

Perkara tersebut katanya, menyebabkan ketidaksenangan kepada pelanggan yang akhirnya terpaksa menggunakan perkhidmatan bas alternatif.

“Masalah-masalah ini akan berakhir memandangkan tiga tahun akan datang, penumpang antarabangsa yang bergerak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dapat menggunakan Aerotrain baharu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, Aerotrain semasa hampir ke tahap tidak boleh digunakan dan perlu ditambah baik supaya penumpang dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik.

“Tidak sesuai lagi untuk kita kekalkan Aerotrain sedia ada. Aset yang lama cenderung untuk rosak dan ini tidak menyenangkan penumpang.

“Ia juga menggunakan teknologi lama, menyebabkan sukar untuk mendapatkan alat ganti. Aerotrain akan ditambah baik bersama dengan infrastruktur sistem trek, sekali gus menyediakan lapangan terbang dengan kecekapan operasi yang lebih baik,” katanya.

Menurut MAHB, Aerotrain baharu tersebut akan ditambah baik dari segi keselamatan, keselesaan, penampilan, penggunaan tenaga dan diagnostik selain menawarkan keluwesan untuk keterhubungan terminal baharu yang lebih lancar pada masa hadapan.

Jelasnya, projek tersebut dianugerahkan kepada Pestech Technology Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Pestech International Berhad dan pembinaannya akan bermula pada Mac 2022, mengambil masa tiga tahun untuk siap.

“Projek tersebut merangkumi penggantian sistem Aerotrain serta penyelenggaraannya selama 10 tahun sehingga 2034.

“Pestech akan bekerjasama dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) terkemuka, Bombardier Transportation yang baru-baru ini dimiliki oleh pengeluar rolling stock antarabangsa dari Perancis, Alstom yang beroperasi dalam pasaran pengangkutan rel seluruh dunia selain aktif dalam bidang pengangkutan penumpang, isyarat dan lokomotif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN