
LANGKAWI: Kira-kira 90 peratus penduduk di pulau peranginan ini yang terlibat dalam industri pelancongan menerima manfaat daripada kejayaan projek rintis gelembung pelancongan yang dilaksanakan pada 16 September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, lebih kurang 106,200 orang penduduk daripada 118,000 penduduk di sini mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada pendapatan daripada industri pelancongan.
“LTA yang mewakili seluruh pemain industri pelancongan di pulau ini ingin berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memilih Langkawi sebagai projek rintis gelembung pelancongan domestik yang telah mencapai objektifnya untuk memulihkan semula ekonomi Langkawi.
“Kemudian kerajaan mengumumkan pula projek rintis gelembung antarabangsa Langkawi dan penerbangan pertama dari Singapura dijadual tiba ke Langkawi pada 3 Disember melalui Scoot Air,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Zainudin, tindakan kerajaan untuk meneruskan gelembung pelancongan domestik kepada antarabangsa setelah rentas negeri dibenarkan adalah langkah yang terbaik bagi memastikan ekonomi penduduknya tidak lagi terjejas disebabkan industri pelancongan yang tidak beroperasi akibat pandemik Covid-19.
Jelasnya, pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa adalah tepat pada masanya kerana jumlah pelancong domestik di Langkawi adalah bermusim dan kehadiran pelancong asing ini akan membantu memastikan pemain industri pelancongan di Langkawi sentiasa menerima kehadiran pelancong.
Tambahnya, keadaan Langkawi yang juga sebuah pulau memudahkan kawalan keselamatan bagi memastikan pertambahan pelancong di sini tidak menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 yang akan menjejaskan penduduk Langkawi.
Ujarnya, pemilik produk pelancongan di sini juga bersyukur apabila pelancong asing mula dibenarkan masuk kerana mereka tidak mempunyai masalah untuk membayar harga tiket.
Katanya, walaupun jumlah pengunjung sudah mula menunjukkan peningkatan yang baik, ada banyak produk pelancongan di sini tidak menjadi pilihan pelancong domestik kerana kebanyakan mereka memilih aktiviti laut.
“Dengan kehadiran pelancong asing, produk pelancongan tidak lagi sekadar cukup makan, dan boleh menjana semula keuntungan mereka yang terjejas berikutan penutupan sektor pelancongan,” katanya.
Sementara itu, Zainudin memberitahu, jumlah kemasukan pelancongan di pulau ini yang direkodkan pada dua minggu terakhir September selepas pelancaran gelembung pelancongan domestik adalah seramai 38,749 orang.
Tambahnya, angka itu meningkat kepada seramai 158,870 orang pengunjung pada Oktober tahun ini, dan 232,099 direkodkan pada November menjadikan kenaikan pengunjung lebih 400 peratus pada Oktober dan hampir 600 peratus pada November.
“Jumlah pelancong dijangka terus mencatat peningkatan sehingga 250,000 orang pengunjung akan memasuki Langkawi pada Disember ini termasuk pelancong asing,” katanya.
Malah beliau berkata, industri pelancongan di pulau ini berjaya menjana pendapatan kira-kira RM24.9 juta melalui projek rintis gelembung pelancongan tersebut bermula dari 16 September hingga 6 Oktober lalu. – UTUSAN










