LaLaport di Bukit Bintang - Utusan Malaysia

LaLaport di Bukit Bintang

PUSAT beli-belah Lalaport di Bukit Bintang City Centre bakal menjadi tarikan baharu di kawasan pertumbuhan segi tiga emas itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat beli-belah LaLaport pertama di Asia Tenggara dikenali sebagai Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC) akan beroperasi di Kuala Lumpur bermula 20 Januari 2022.

Syarikat hartanah Jepun, Mitsui Fudosan Co. Ltd. berkata, pusat beli-belah itu dibangunkan oleh anak syarikat Mitsui Fudosan di Malaysia, MFBBCC Retail Mall Sd. Bhd., syarikat yang ditubuhkan bersama UDA Holdings Bhd., Eco World Development Group Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

LaLaport BBCC memiliki keluasan lantai 82,600 meter persegi dan akan menjadi LaLaport kedua Mitsui Fudosan di luar negara selepas Mitsui Shopping Park LaLaport Shanghai Jinqiao.

“Sebanyak 400 kedai dijangka akan dibuka secara berperingkat di pusat beli-belah gaya hidup dari Jepun itu dan antara penyewanya termasuk barisan jenama terkenal dari Jepun seperti NITORI, Nojima dan JONETZ oleh DON DON DONKI.

“Mitsui Fudosan juga akan bekerjasama dengan BBCC bagi menjalankan pembangunan bandar berskala besar terdiri daripada pusat beli-belah, kediaman, pangsapuri servis, pejabat dan hotel dengan keluasan tapak 78,500 meter persegi.

“Setelah siap, projek BBCC itu bakal menjadi satu-satunya mercu tanda yang menganjurkan gaya hidup Jepun baharu, membolehkan masyarakat tempatan mengamalkan gaya hidup, bekerja, bermain dan berkumpul dengan cara yang lebih mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, LaLaport BBCC bakal menerajui pembangunan keseluruhan projek itu sebagai hab yang menggalakkan rakyat memahami satu sama lain, menambah baik mutu kehidupan dan menawarkan ketenangan kepada orang ramai.

Bagi menambah baik pengalaman membeli-belah kepada pelanggan, aplikasi LaLaport MY Mobile akan tersedia untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai pusat beli-belah itu dan ia dilengkapi dengan ciri-ciri penstriman langsung melalui platform media sosial.

Selain boleh diakses menggunakan kenderaan persendirian, LaLaport BBCC juga boleh dikunjungi menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) dan KL Monorel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN