PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik), Datuk Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.
Beliau didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Menurut pertuduhan yang difailkan SC di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kenyataan palsu itu berhubung angka pendapatan sebanyak RM6.104 bilion yang terkandung dalam Laporan Suku Tahunan Keputusan Kewangan yang Digabungkan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.
“Serba Dinamik, bersama seorang pengarah dan dua orang pegawai kanan telah dikenakan pertuduhan pada 28 Disember 2021 atas kesalahan sama, yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM3 juta,” katanya dalam kenyataan.
Menurut SC, tertuduh memohon agar dibicarakan terhadap pertuduhan yang difailkan terhadapnya.
Hakim Sabariah Othman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin.
“Tertuduh juga perlu melaporkan diri kepada SC mengikut syarat-syarat yang akan ditetapkan oleh SC,” jelasnya.
SC dalam pada itu turut mengenakan pertuduhan terhadap Timbalan Presiden Akaun & Kewangan Serba Dinamik, Muhammad Hafiz Othman di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan memalsukan rekod perakaunan anak syarikatnya, Serba Dinamik Sdn. Bhd.
Muhammad Hafiz didakwa terlibat secara langsung dalam mengarahkan penyediaan dokumentasi palsu berkaitan penjualan Serba Dinamik Sdn. Bhd., yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 368(1)(b)(i) CMSA.
“Tertuduh memohon agar dibicarakan terhadap pertuduhan yang difailkan terhadapnya. Hakim Rozilah Salleh membenarkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin.
“Jika sabit kesalahan, Muhammad Hafiz boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM1 juta,” jelas SC. – UTUSAN










