Jualan Keluarga Malaysia di Kepala Batas diadakan secara mingguan - Utusan Malaysia

Jualan Keluarga Malaysia di Kepala Batas diadakan secara mingguan

REEZAL Merican Naina Merican meninjau operasi Jualan Keluarga Malaysia di Kepala Batas, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Jualan Keluarga Malaysia pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diadakan di sini hari ini mendapat sambutan luar biasa khususnya daripada penduduk setempat apabila lebih 3,000 orang hadir ke situ untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian.

Teruja dengan sambutan itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican menyatakan hasrat untuk menjadikan program tersebut sebagai aktiviti mingguan dengan beberapa penambahbaikan dibuat selepas ini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, antara penambahbaikan itu termasuk mewujudkan had pembelian untuk barangan tertentu, meningkatkan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

“Untuk pengetahuan, program ini hanya dirancang dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu empat atau lima hari dan saya percaya, kalau diberikan tempoh yang lebih lama, mungkin program ini lebih tersusun.

“Apapun, insyaAllah, kita akan teruskan program ini setiap minggu dan kalau boleh, sehingga harga barang betul-betul stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.

Selain pejabat Ahli Parlimen Kepala Batas, karnival jualan hasil inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) serta pasar raya Mydin.

PENGUNJUNG beratur bagi membeli daging di Jualan Keluarga Malaysia di Kepala Batas, hari ini.

Antara barangan yang mendapat sambutan hangat pada jualan selama empat jam bermula kira-kira pukul 8 pagi itu ialah ayam jenis super yang dijual pada harga serendah RM5 seekor, telur gred C (RM8 sepapan), beras seberat 5 kilogram (kg) pada harga RM10 serta sayur-sayuran.

Turut menjadi tumpuan ialah daging lembu tempatan yang dijual pada harga RM30 sekilogram serta beberapa barangan yang dijual secara pakej seperti dua kg minyak masak dan satu kg tepung gandum pada harga RM4 sahaja.

Dalam pada itu, seorang eksekutif pemasaran NAFAS, Khairulizzat Basir berkata, lebih 500 ekor ayam yang dijual sempena program berkenaan habis dalam masa kira-kira dua jam.

“Kalau nak diikutkan, harga ayam (super) sekarang lebih RM11, namun, kami mendapat subsidi untuk menjualnya pada harga RM8 dan pejabat Ahli Parlimen Kepala Batas turut memberikan subsidi lagi sebanyak RM3 hingga membolehkan kesemua ayam ini dijual pada harga serendah RM5 seekor.

“Bagaimanapun, kita mengehadkan pembelian hanya seekor untuk satu keluarga bagi mengelakkan bekalan ayam cepat habis,” katanya.

Bagi seorang pengunjung, Tan Teow Joo, 47, dia datang seawal 7 pagi semata-mata tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan pelbagai barangan murah di situ walaupun tahu aktiviti jualan hanya bermula sekitar pukul 8 pagi.

“Baguslah buat program macam ini sebab sekarang harga barangan semua naik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya