PETALING JAYA: Hong Leong Islamic Bank (HLISB) mengembangkan ekosistem pengurusan kekayaan Islam digitalnya dengan memperkenalkan akaun pelaburan terbatas digital pertama dalam pasaran, iaitu Akaun Pelaburan Portfolio (PIA-i).
Menurut HLISB, pihaknya bekerjasama dengan Hong Leong Islamic Asset Management (HLISAM) bagi menawarkan peluang dan kebolehsampaian kepada pelanggannya untuk melabur dalam dana unit amanah patuh syariah dalam platform digital, membolehkan pelanggan menguruskan pelaburan mereka di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.
Katanya, prinsip syariah untuk produk tersebut ialah Wakalah bi Al-Istithmar, sebuah kontrak agensi yang mana pelabur memberi kuasa kepada HLISB untuk menguruskan pelaburan bagi pihak mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Jasani Abdullah berkata, sekatan pergerakan akibat Covid-19 menjadi pemangkin kepada pelaburan runcit dalam negara apabila rakyat Malaysia melihat kepentingan pelaburan untuk kemampanan kewangan mereka.
Kata beliau, dengan transformasi pesat Malaysia ke arah ekonomi digital maju, tawaran digital PIA-i HLISB merupakan satu lagi langkah ke arah peningkatan penggunaan alat digital dan teknologi dalam masyarakat yang mengutamakan digital.
“Kami berusaha menyediakan perkhidmatan perbankan yang mudah dan menyenangkan kepada komuniti keseluruhannya dengan strategi berteraskan digital dan perkhidmatan tersuai bagi menghasilkan produk perbankan ringkas dan lancar yang menambah nilai kepada gaya hidup pelanggan.
“Ini telah menjadi kunci kepada inovasi produk, perkhidmatan dan pengalaman perbankan Islamik digital patuh syariah HLISB, selain terus memperkembang perbankan Islamik digital serta ruang pengumpulan kekayaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut HLISB, PIA-i direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup pelanggan yang semakin digital.
Katanya, akaun tersebut merupakan produk pelaburan yang diringkaskan bagi membolehkan pelanggan mempelbagaikan pelaburan peribadi mereka secara digital melibatkan campuran dana patuh syariah melalui platform perbankan digital mereka, HL Connect.
“Ia direka sesuai dengan keperluan kewangan pelbagai segmen pelanggan termasuk orang dewasa yang bekerja, keluarga dengan anak-anak serta mereka yang cakna sosial dan etika,” katanya. – UTUSAN










