SEREMBAN: Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) memaklumkan, tidak wujud sebarang isu berkaitan ‘cek tidak halal’ seperti didakwa seorang pelanggan terdapat cek yang `ditendang’ bank tersebut.
Ketua Operasi Perbankan Bank Muamalat, Muhamad Radzuan Ab. Rahman berkata, berlaku salah faham komunikasi antara kakitangan syarikat perbankan berkenaan dengan pelanggan terbabit.
“Kami tidak pernah mewujudkan dalam polisi perbankan kami untuk membezakan cek halal atau tidak halal. Cek berkenaan tidak diterima kerana kesilapan teknikal dan salah faham antara kakitangan dan pelanggan.
“Cek berkenaan tidak diserahkan kepada kakitangan yang bertugas dan hanya diletakkan ke dalam kotak cek dan setelah ia dikumpulkan kami mendapati terdapat masalah teknikal iaitu ada masalah pada nama pemberi cek.
“Bagaimanapun, pihak kami kemudiannya menghubungi pelanggan dan memintanya datang ke bank sebelum bertanyakan sumber dan tujuan cek berkenaan, malah dakwaan cek tidak halal seperti yang didakwa pelanggan itu tidak benar dan ia hanya isu teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak di Taman Permata, di sini, semalam yang turut dihadiri ADUN Lobak, Chew Seh Yong.
Pada 24 Disember lalu, media melaporkan, sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga tanah sebuah perkuburan Cina terkejut apabila cek yang diberikan daripada sebuah gereja untuk tujuan pembaikan tanah perkuburan berkenaan dikatakan tidak halal ketika mahu ditunaikan di Bank Muamalat.
Pihak media dimaklumkan, wakil pertubuhan berkenaan kemudiannya membuat aduan kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak.
Sementara itu, Seh Yong berkata, isu berkenaan sudah selesai dan tidak perlu diperbesarkan lagi.
“Pada hari ini, saya bersama wakil pertubuhan dan pihak bank sudah berbincang mengenai isu ini. Pihak bank sudah menjelaskan perkara sebenar dan hasil daripada perbincangan ini kami mendapati ia hanya kesilapan teknikal dan salah faham.
“Saya memuji tindakan pihak bank yang turun padang untuk menyelesaikan isu ini. Saya tidak mahu isu tidak halal ini diperbesarkan kerana ia sedikit sebanyak menyentuh sensitiviti agama,” katanya. – UTUSAN










