PETALING JAYA: Sime Darby Motors (SDM) Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepat penggunaan kenderaan elektrik (EV) sekali gus menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon.
MoU selama dua tahun itu antara lain memastikan rangkaian infrastruktur pengecasan EV yang lebih cekap disediakan, selain menyasarkan untuk melihat inisiatif cekap tenaga dan tenaga boleh diperbaharui yang lain bagi mengoptimumkan kos infrastruktur pengecasan EV dan mengurangkan pelepasan karbon.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd., Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pihaknya mempunyai cita-cita EV yang sangat jelas di Sime Darby Berhad dan penglibatan TNB sangat kritikal dalam memastikan matlamat kami dapat dicapai di Malaysia.
“Rakan kongsi seperti TNB memainkan peranan penting sebagai pemboleh dalam membantu kami mencapai sasaran portfolio produk yang lebih cekap tenaga menjelang 2025 dan menjadi peneraju bagi EV di Asia Pasifik.
“Kami berada di 19 pasaran di rantau Asia Pasifik, di mana kesemuanya berada pada tahap berbeza dalam revolusi EV. Sebagai rakan kongsi pilihan untuk beberapa jenama automotif yang paling dikagumi di dunia, dan dengan keupayaan merentasi rantaian nilai penuh, kami percaya bahawa kami berada di kedudukan strategik untuk menjadi rakan kongsi pilihan bagi peralihan yang sedang berlaku,” katanya dalam kenyataan.
MoU SDM Malaysia dan TNB itu dimeterai antara Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran SDM, Jeffrey Gan dan Ketua Solutions Bahagian Retail TNB, Mohamed Azrin Mohamed Ali, disaksikan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sime Darby Berhad, Mustamir Mohamad dan Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan di Sime Darby Motors City, Ara Damansara, semalam.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din memaklumkan, minat TNB untuk mempercepatkan e-mobiliti didorong cita-cita TNB untuk mewujudkan persekitaran EV yang kondusif, sekali gus menggalakkan kadar penggunaan EV yang lebih tinggi dalam kalangan orang ramai.
“Sebagai pemacu utama peralihan tenaga negara, inisiatif ini juga membina usaha kami untuk menerajui pembangunan ekosistem yang kondusif bagi penggunaan EV yang lebih luas di Malaysia.
“Selepas lebih tujuh dekad, peranan kami telah berkembang daripada penyedia utiliti nasional ke arah menjadi menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
“Untuk mencapai aspirasi itu, kami telah mengubah TNB menjadi lebih tangkas dan mengutamakan pelanggan, termasuk meningkatkan portfolio solusi tenaga mampan seperti solar dan hidro, audit tenaga, sistem pengurusan tenaga yang cekap dan kini, infrastruktur pengecasan EV,” ujarnya.
Tambah beliau, melalui kerjasama itu juga, SDM Malaysia dan Sime Darby Berhad secara keseluruhannya boleh bergantung kepada kepakaran kolektif TNB dalam pengurusan tenaga dan solusi tenaga mampan untuk membantu mencapai misi mereka yang sentiasa bersedia dengan keperluan masa depan dalam industri automotif.
“Ini termasuk memperluas kadar penggunaan EV di negara ini dengan TNB menyediakan kepakaran dalam pemasangan infrastruktur pengecasan EV di lokasi strategik di sepanjang laluan perjalanan utama untuk menyokong komuniti EV dengan lebih baik.
“Ia akan mengurangkan sebarang kebimbangan dalam kalangan pemilik EV dan membantu merangsang lebih banyak minat terhadap pilihan mobiliti rendah karbon dalam kalangan bakal pemilik EV,” jelasnya. – UTUSAN










