Eksposisi Komuniti Kraf, platform promosi, pasarkan produk kraf - Utusan Malaysia

Eksposisi Komuniti Kraf, platform promosi, pasarkan produk kraf

PESERTA Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Zon Sarawak, Nor Affida Sapawi melakukan demonstrasi tekstil menenun songket ketika Eksposisi Komuniti Kraf sempena Komuniti Kraf Keluarga Malaysia di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Eksposisi Komuniti Kraf (EKK 2021) yang dilaksanakan di bawah Program Komuniti Kraf Keluarga Malaysia pada 1 hingga 6 Disember 2021 di Kompleks Kraf merupakan aktiviti promosi dan pemasaran yang menghimpunkan seramai 208 komuniti kraf seluruh Malaysia daripada 104 projek yang dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Pengarah Seksyen Pembangunan Usahawan Kraf, Kraftangan Malaysia, Abdul Rahman Omar berkata, PPKK merupakan inisiatif Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran di bawah Pelan Jana semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk mewujudkan komuniti kraf baharu yang terlibat secara langsung dalam perusahaan kraf dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

Eksposisi Komuniti Kraf yang berlangung sekarang merupakan inisiatif keempat di bawah PPKK iaitu di bawah insiatif Pasaran dan Promosi. Dengan pelaksanaan EKK maka keempat-empat inisiatif di bawah PPKK telah dapat dilaksanakan. Antara inisiatif di bawah pelaksanaan PPKK adalah pembangunan produk, pembangunan pengeluaran, pembangunan teknikal dan digital serta pasaran dan promosi.

“Aktiviti yang dilaksanakan sepanjang EKK tersebut termasuk pameran dan jualan produk komuniti kraf, aktiviti demonstrasi penghasilan produk komuniti kraf, jualan jumbo, seminar dan sesi komuniti kraf bersama usahawan Craft Champion.

“Kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke EKK 2021 yang dilaksanakan bermula 1 hingga 6 Disember 2021 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur untuk menyaksikan sendiri keunikan produk-produk kraftangan yang dihasilkan oleh komuniti kraf dari seluruh Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

ABDUL RAHMAN OMAR

Beliau akui, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula Mac tahun lalu telah menyebabkan banyak sektor ekonomi ditutup termasuk industri kraftangan.

Katanya, ramai komuniti kraf amat terkesan dari segi sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Sebelum pandemik Covid-19, komuniti kraf menjana pendapatan melalui aktiviti-aktiviti promosi dan jualan secara terus (seperti di pusat beli-belah) yang diadakan oleh Kraftangan Malaysia di seluruh negara.

“Namun, sejak PKP dilaksanakan, semua aktiviti itu tidak dapat dilakukan sekali gus menyukarkan komuniti kraf untuk memasarkan produk mereka.

“Oleh itu, Kraftangan Malaysia telah mewujudkan platform jualan secara dalam talian seperti kumpulan laman Facebook iaitu E-Kraf Bazar (EKB) untuk membantu komuniti kraf memasarkan produk mereka sepanjang tempoh PKP,” katanya.

EKB telah diwujudkan sejak 8 April 2020 dan kini mempunyai lebih 18,000 pengikut di media sosial tersebut.

Tambah Abdul Rahman, selain itu, terdapat dua lagi platform digital telah dibangunkan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia untuk membantu usahawan kraf iaitu melalui jualan di MyCraftshoppe (MCS) dan Craft On The Go (COTG).

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, MyCraftShopee merupakan usaha pengukuhan saluran pemasaran produk kraf dan perkhidmatan secara dalam talian berkonsepkan global reach local identity.

IZUDDIN Isham melakukan demonstrasi membuat pasu tanah liat (seramik).

Pengguna ditawarkan dengan kepelbagaian produk yang terdapat dalam rantaian industri kraf merangkumi produk, bahan mentah, rekaan produk, perkhidmatan selepas pembelian dan maklumat berkaitan industri kraf.

Platform itu kini menghimpunkan kira-kira 759 komuniti kraf terdiri daripada pembuat, pembekal hinggalah pengedar.

“Manakala aplikasi Craft On The Go pula disediakan bagi meningkatkan kebolehcapaian maklumat berkaitan usahawan kraf di seluruh Malaysia.

“Maklumat itu disediakan dalam bentuk direktori yang mengandungi profail usahawan, keterangan produk, imej, maklumat media sosial dan lokasi pusat jualan,” jelasnya.

Menerusi aplikasi itu, tambah beliau, pengguna boleh berhubung dengan usahawan atau pergi ke lokasi di mana usahawan kraf menjalankan perusahaan mereka. Aplikasi yang kini mempunyai 1,372 usahawan itu boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple App Store.

Beliau berharap, platform pemasaran digital sedia ada seperti EKB, MCS dan COTG dapat digunakan sepenuhnya oleh usahawan bagi meningkatkan jualan produk mereka kerana platform-platform itu adalah terbuka dan boleh diakses oleh semua orang.

“Selain itu, kami juga menggalakkan generasi muda di negara ini untuk menceburkan diri dalam bidang kraf kerana industri berkenaan dilihat mempunyai potensi dan skop pasaran yang luas di dalam dan luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya