Ekonomi dijangka pulih 2022 - Utusan Malaysia

Ekonomi dijangka pulih 2022

PENIAGA di Jalan Tuanku Abdul Rahman menyusun barangan selepas kerajaan menarik balik PKP dan membenarkan sektor ekonomi kembali beroperasi. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Optimis Omicron tidak akan menyebabkan gelombang baharu

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka pulih pada tahun hadapan dengan ancaman varian baharu, Omicron dilihat tidak akan menyebabkan gelombang baharu jangkitan Covid-19 dan tidak akan mendorong negara-negara dunia melaksanakan sekatan pergerakan baharu.

Walau bagaimanapun, menurut MIDF Research, ancaman Omicron masih diambil kira sebagai risiko kepada ekonomi negara bersama tiga isu lain.

Kata institut penyelidikan itu, pihaknya percaya ekonomi Malaysia dan pasaran berada dalam permulaan pemulihan ketika ini selepas beberapa permulaan yang gagal sepanjang tahun ini.

“Ini kerana, kami melihat keadaan yang dihadapi tahun ini sangat berbeza dengan tahun lalu. Antara perbezaan utama ialah penemuan dan kesediaan vaksin.

“Pemulihan ekonomi (yang mempengaruhi prestasi pasaran) telah tertangguh disebabkan penyebaran varian Delta. Namun, kita melihat beberapa kejayaan berikutan kadar vaksinasi yang kukuh, membolehkan kerajaan membuka semula ekonomi selepas sekatan pergerakan berpanjangan.

“Bagi kami, persoalannya lebih kepada bila, berbanding jika kita mampu pulih,” katanya dalam Unjuran 2022 Ekuiti Malaysia yang diterbitkan semalam.

Walau bagaimanapun, MIDF Research menegaskan, pelabur perlu terus berhati-hati terhadap empat isu iaitu ancaman Omicron, tekanan berterusan inflasi, kejatuhan pasaran hartanah China dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang boleh menyebabkan beberapa impak negatif.

Katanya, dalam senario kes asasnya, isu-isu tersebut akan menyebabkan beberapa gangguan kepada pemulihan ekonomi.

“Namun, kami menjangkakan pemulihan tidak akan terhenti disebabkan isu-isu tersebut, baik secara bersendiri atau bersama.

“Kemungkinan isu-isu ini menjadi lebih teruk dari jangkaan juga tidak boleh dikesampingkan, melihat kepada pengalaman kita tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu, MIDF Research menyasarkan ekonomi Malaysia berkembang dengan lebih kukuh hadapan melebih enam peratus berikutan pembukaan semula ekonomi, selepas prestasi tahun ini terkesan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan.

“Perbelanjaan kerajaan akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan, melihat kepada belanjawan pengembangan 2022 dan peruntukan tertinggi dalam sejarah untuk perbelanjaan pembangunan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN