KUALA LUMPUR: Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 1,000 unit City Hatchback serba baharu sebulan yang dilancarkan, semalam.
Diperkenalkan dalam empat varian iaitu RE e-HEV, V, E dan S, City Hatchback serba baharu yang sporty dan bergaya, disasarkan kepada golongan muda Malaysia.
Ia dijual pada harga antara RM75,670 hingga RM87,860, tanpa insurans, bergantung kepada model dan aksesori.
Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adli Sarkum bersama Pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Jalan Duta, di sini.
Chujo berkata, pelancaran model tersebut yang setakat ini telah menerima tempahan sebanyak 2,000 unit, merupakan satu sejarah buat syarikat berkenaan.
Kata beliau, sejak bertahun menerusi generasi yang lalu, City telah berevolusi dan menjadi salah satu model sedan segmen B paling diminati di Malaysia.
“Lebih daripada 380,000 unit telah terjual di pasaran Malaysia sejak City generasi ke-2 diperkenalkan pada 2002.
“Kami sangat teruja untuk melancarkan model terbaharu kami yang cukup menarik perhatian, City Hatchback serba baharu yang pertama dalam segmennya dengan ciri-ciri premium, versataliti konfigurasi ULTRA Seats dan paling penting, ia sangat seronok dipandu,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran jualan model baharu itu, beliau berkata, pihaknya masih meneliti perkembangan semasa ekonomi sebelum boleh membuat sebarang unjuran.
Chujo berkata, jualan kenderaan Honda pada tahun lalu susut kira-kira 40 peratus daripada sasaran disebabkan penularan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun katanya, inisiatif pengecualian cukai yang dilaksanakan kerajaan telah membantu syarikat dan pemain industri untuk mendepani situasi mencabar sepanjang tahun lalu.
Mengenai masalah bekalan cip, beliau berkata, masalah itu bukan sahaja dihadapi oleh Honda, tetapi juga semua syarikat automotif di peringkat global.
Dalam konteks ini, katanya, Honda Malaysia telah berhubung dengan ibu pejabat Honda di Thailand dan Jepun untuk mencari jalan penyelesaian. – UTUSAN










