Cagamas terbit bon, sukuk berjumlah RM4 bilion - Utusan Malaysia

Cagamas terbit bon, sukuk berjumlah RM4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cagamas Berhad mengumumkan penerbitan bon dan sukuk dengan agregat bersamaan RM4 bilion melalui anak syarikat milik penuhnya, Cagamas Global P.L.C.

Penerbitan tersebut melibatkan Kertas Komersial Islamik (ICP) tiga bulan bernilai RM345 juta; Kertas Komersial (CCP) tiga bulan RM400 juta; bon kemampanan Asean pelbagai tempoh RM100 juta; Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) pelbagai tempoh RM380 juta; Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) pelbagai tempoh RM1.6 bilion serta Nota Jangka Sederhana Euro (EMTN) Kadar Tetap satu dan dua tahun AS$268 juta (RM1.13 bilion).

Menurut perbadanan gadai janji Malaysia itu, hasil daripada penerbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian aset kemampanan yang layak, pinjaman perumahan dan pengewangan rumah Islamik dari sistem kewangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee Leong berkata, pihaknya gembira dengan kejayaan memuktamadkan penerbitan itu dari kedua-dua pasaran domestik dan antarabangsa.

Kata beliau, ia dapat dicapai ketika risiko inflasi dan peningkatan jangkaan untuk kenaikan kadar dalam tempoh beberapa bulan ini banyak diperkatakan di seluruh dunia.

“Usaha berterusan syarikat untuk masuk ke dalam pasaran mata wang asing sementara mengekalkan kehadirannya dalam pasaran domestik menyumbang kepada kejayaan memuktamadkan transaksi tersebut.

“Ia menunjukkan kemampuan berterusan syarikat menyediakan dana yang kompetitif untuk institusi kewangan dalam pesisir.

“Penerbitan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) juga merupakan kegiatan penentuan harga mata wang asing kedua syarikat dalam tahun ini, menjadikan jumlah mata wang asing yang diterbitkan setakat ini untuk tahun ini bersamaan RM1.9 bilion atau 11 peratus daripada semua penerbitan yang dimuktamadkan Cagamas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Cagamas, transaksi tersebut menjadikan penerbitan syarikat itu setakat ini dalam tahun ini adalah sebanyak RM17.2 bilion, yang merupakan tertinggi sejak 2008.

Katanya, bon didenominasi dolar AS yang diterbitkan Cagamas Global adalah sepenuhnya dan tanpa syarat dijamin oleh Cagamas.

Sementara itu, katanya, penerbitan dalam ringgit yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya apabila matang merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, diranking pari passu bersama semua obligasi tidak bercagar syarikat yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×