Bursa Malaysia tutup tirai 2021 dengan prestasi kukuh - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia tutup tirai 2021 dengan prestasi kukuh

RINGGIT turut ditutup lebih tinggi berbanding dolar, menjelang Tahun Baharu 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia menutup tirai 2021 dengan prestasi tinggi apabila penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 23.92 mata kepada 1,567.53 mata berbanding 1,543.61 mata semalam.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, secara umumnya kenaikan pada hujung tahun khususnya petang sebelum penutup, pemain saham akan memburu saham murah yang berpotensi untuk maju.

“Pada pagi semalam, tren masih lagi berhati-hati dan menurun, hanya pada belah petang ia akan pulih dan menaik.

“Namun, secara keseluruhan, kaunter-kaunter berkaitan kesihatan, barangan, perkhidmatan dijangka akan menjadi pilihan sehingga masuk ke tahun baharu.

“Bagi ringgit pula, ia dijangka tidak akan mencatatkan banyak perubahan dan mungkin akan mengukuh pada minggu pertama atau kedua tahun depan dengan kadar perdagangan yang aktif dan mulai agresif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ringgit juga diniagakan lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat pada 4.1740/4.1650 daripada 4.1705/4.1775 semalam.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 479 berbanding 413, manakala 416 kaunter tidak berubah dan 982 kaunter tidak diniagakan.

Antara kaunter yang untung adalah produk pengguna dan perkhidmatan, utiliti serta penjagaan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN