Bukti komitmen tinggi kerajaan - Utusan Malaysia

Bukti komitmen tinggi kerajaan

PETUGAS melakukan kerja-kerja persiapan akhir menjelang program 100 Hari Aspirsasi Keluarga Malausia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini hingga Ahad ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

PETALING JAYA : Orang ramai berpeluang mengetahui lebih dekat pencapaian terbaharu kerajaan di samping berpeluang berinteraksi dengan pelbagai kementerian dan agensi menerusi Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini sehingga 12 Disember.

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia merupakan matlamat ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa ucapan pembentukan Kabinet baharu pada 27 Ogos lalu apabila beliau komited memastikan pasukan Kabinet tersebut menekan budaya kerja berprestasi tinggi.

Selain itu, Perdana Menteri mahu memastikan setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran ditetapkan di samping perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari.

Malah tempoh itu dilihat penting dalam menjayakan agenda negara melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat yang terkesan akibat virus Covid-19.

WAN AZILAWATI WAN MAHMOOD

Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Wan Azilawati Wan Mahmood berkata, program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri itu bertujuan menyelami keutamaan dan kehendak rakyat bagi memastikan kerajaan dilihat sebagai satu badan kepimpinan yang berprestasi tinggi.

Menurutnya, program itu menetapkan setiap kementerian menjelaskan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari bermula 1 September lalu sehingga hari ini.

“Sebanyak 31 kementerian telah menetapkan sasaran Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) masing-masing berdasarkan enam teras antaranya menstrukturkan semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial.

“Tiga lagi teras adalah mem­per­tingkatkan infrastruktur me­­nyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan keluarga Ma­laysia dan memperkasa pe­nyampaian perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Wan Azilawati memaklumkan, pelbagai aktiviti menarik dise­diakan dalam program itu anta­ranya karnival kerjaya, persembahan kebudayaan, malam aspirasi seni, jualan usahawan, sukan rakyat, galeri pencapaian kementerian serta program bantuan.

Jelasnya, pelbagai kementerian dan agensi mengambil bahagian dalam program tersebut dengan masing-masing mengetengahkan aktiviti dan program mereka.

Jelasnya, pelbagai aktiviti me­narik disediakan antaranya karnival kerjaya Keluarga Malaysia, jom Masuk IPT (Institusi Pengajian Tinggi), diskaun saman Polis Dira­ja Malaysia dan Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) serta I’m Youth.

“Namun paling menarik perhatian diskaun saman Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Selain itu, turut dianjurkan pertandingan e-Sports, sukan rak­yat, padanan perniagaan, pameran serta jualan usahawan, perkhidmatan langsung agensi kerajaan dan cabutan bertuah.

“Turut dilangsungkan Zikir Berkah Keluarga Malaysia, Quran Hour dan malam aspirasi seni,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Azilawati berkata, berikutan negara masih dalam fasa pemulihan di bawah Pelan Pemulihan Negara dan pandemik Covid-19 belum tamat, pematuhan dan pemantauan ketat dikenakan untuk semua prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Jelas beliau, soal tersebut termasuk ruang penganjuran di­pastikan mempunyai peng­udaraan yang baik, kedudukan peserta disusun dan ditanda mengikut penjarakan yang ditetapkan serta pengguna tandas akan dihadkan pada satu-satu masa.

“Lokasi akan disanitasi pada pukul 11 malam setiap hari selepas program selesai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Selain itu, penganjur, urus setia dan pengunjung perlu mematuhi SOP asas seperti mengimbas su­hu sewaktu memasuki KLCC, mengimbas MySejahtera sewaktu memasuki KLCC, kanak-kanak yang belum divaksin di bawah 12 tahun perlu hadir bersama ibubapa atau penjaga.

“Paling utama adalah amalkan penjarakan fizikal sepanjang masa di samping jumlah kehadiran pe­ngunjung di dalam dewan dihad­kan mengikut kapasiti yang dibenarkan. Sesiapa yang baru pulang dari luar negara dalam tempoh kurang tujuh hari dinasihatkan tidak hadir,” jelas beliau.

Selain itu, aliran sehala untuk masuk dan keluar juga dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku sebarang kesesakan.

Keluarga Malaysia ialah gagasan yang diperkenalkan oleh Ismail Sabri pada 22 Ogos 2021.

Konsep ini antara lain me­nye­ru rakyat Malaysia me­ngetepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara untuk menggembleng tenaga dalam cabaran mendepani pandemik Covid-19 dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN