PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) Ke-25.
BNM dalam kenyataan berkata, duit syiling peringatan yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu Perak Sterling Berwarna dengan Batu Nilam (pruf) dan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (BU).
“Buat pertama kalinya BNM akan mengeluarkan duit syiling numismatik dengan sisipan batu nilam seberat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5.
“Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM286 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa,” kata kenyataan itu.
Menurut bank pusat, duit syiling kedua pula seberat 8.5 gram dan diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain dengan nilai muka RM1.
Jelasnya, ia akan dijual pada harga RM13.20 sekeping dan sejumlah 10,000 keping telah ditempa.
“Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set dua dalam satu untuk jualan. Set ini berharga RM341 setiap satu termasuk 10 peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dengan batu nilam dan sekeping duit syiling emas Nordic pruf. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian,” ujarnya.

Reka bentuk bahagian hadapan duit syiling itu tertera nama “LABUAN FINANCIAL SERVICES AUTHORITY” pada sekeliling bahagian kiri, manakala bahagian kanan duit syiling pula tertera “1996-2021” menandakan 25 tahun penubuhan LFSA selain peta Labuan ditampilkan dengan permukaan 3D potongan berlian.
Bahagian belakang pula tertera nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik, disusuli dengan logo rasmi LFSA25 pada bahagian tengahnya.
Nilai muka “10 RINGGIT” dan slogan acara LFSA25, “A Journey of Dedication, Determination and Dynamism,” pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling.
Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set dua dalam satu, satu keping duit syiling perak sterling berwarna dengan batu nilam (pruf) dan maksimum hingga lima keping duit syiling emas Nordic (BU).
Orang ramai boleh membuat tempahan melalui https://duit.bnm.gov.my mulai pukul 10 pagi, 14 Februari 2022 hingga pukul 11 malam, 25 Februari 2022. – UTUSAN










