Banjir: Syarikat-syarikat korporat terus membantu - Utusan Malaysia

Banjir: Syarikat-syarikat korporat terus membantu

NORLIZA Abdul Rahim dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd. Salem Kailany menyantuni keluarga mangsa banjir di Jeram, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat-syarikat korporat tampil menghulurkan pelbagai bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir di seluruh negara khususnya di Lembah Klang.

Antara syarikat itu ialah Sime Darby Plantation Berhad (SDP) yang memperuntukkan RM7 juta untuk inisiatif bantuan banjir di kawasan operasinya, masyarakat dan sekolah-sekolah sekitar.

Menurut SDP, menerusi inisiatif itu, RM5 juta akan digunakan oleh Yayasan Sime Darby (YSD) bagi memastikan keperluan segera masyarakat tempatan yang teruk terjejas dalam bencana itu.

SDP juga menyediakan bantuan kepada pekerjanya yang terjejas akibat bencana tersebut dengan peruntukkan anggaran RM2 juta.

Ketua Pegawai Operasi SDP Malaysia Hulu, Roslin Azmy Hassan berkata, pihaknya akan terus melakukan usaha yang terbaik untuk membantu masyarakat yang memerlukan melalui usaha alternatif itu.

“Komuniti di dalam dan berhampiran operasi SDP digesa untuk menghubungi pasukan kami untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan.

UDA Holdings Berhad (UDA) turut giat menghulurkan bantuan kepada komuniti terkesan banjir dengan menyalurkan sumbangan tambahan berjumlah RM85,000 berupa barangan keperluan asas seperti toto dan makanan.

UDA juga telah menyalurkan bantuan bernilai RM50,000 pada hujung minggu lalu menjadikan jumlah sumbangan terkumpul setakat 26 Disember sebanyak RM135,000.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, UDA mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan bantuan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Selangor iaitu di Klang, Kuala Selangor, Kapar dan Kota Raja pada 23 Disember lalu.

UDA turut menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Port Dickson dan Jelebu, Negeri Sembilan serta Kuala Terengganu, Terengganu. Sebanyak 500 toto juga bakal diedarkan kepada mangsa banjir di sekitar Pahang dalam masa terdekat.

KOPETRO Catering, anak syarikat Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) pula menyeru keluarga Malaysia untuk sama-sama menghulurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir melalui program infaq pek makanan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.

Dengan tempahan minimum sebanyak 20 pek, orang ramai yang berminat untuk membuat infaq boleh memilih dua set menu makanan panas yang mengandungi nasi, lauk-pauk dan air mineral serendah RM7.90 satu pek.

Penghantaran ke pusat pemindahan sementara yang terpilih di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor adalah percuma, ihsan daripada KOPETRO Catering.

Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata, program infaq pek makanan ini bukan perkhidmatan baharu yang ditawarkan KOPETRO Catering.

Sementara itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Bantuan Kilat SSM dalam usaha membantu warga kerja SSM yang terjejas.

Skuad Bantuan Kilat SSM terdiri daripada 162 sukarelawan dalam kalangan warga kerja SSM, telah digerakkan dari 21 Disember lalu secara berperingkat bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di rumah-rumah yang terkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, SSM berharap kerja-kerja sukarelawan itu membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN