PETALING JAYA: AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) memperkenalkan SmartTraveller Enhanced, insurans perjalanan pertama dalam pasaran Malaysia yang menyediakan perlindungan untuk penyakit berkaitan pandemik sehingga RM350,000.
Menurut syarikat itu, pelancong kini boleh memilih untuk menambah Perlindungan Pandemik untuk percutian ke luar negara bagi menampung pembatalan perjalanan, sekatan perjalanan, perbelanjaan perubatan, hospital dan rawatan, elaun hospital, pemindahan perubatan kecemasan, penghantaran pulang perubatan kecemasan dan penghantaran pulang jenazah jika didiagnosis dengan penyakit pandemik.
Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet berkata, insurans perjalanan menjadi keutamaan pada masa kini berbanding sebelumnya dan ia merupakan langkah pelindungan bagi mendepani pelbagai kecemasan dan perbelanjaan yang tidak dijangka.
Kata beliau, apabila pelancong peka dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku, mereka memilih untuk memastikan perjalanan meraka selamat dengan merancang perjalanan lebih awal bagi menikmati percutian dengan minda yang tenang.
“Walaupun kebanyakan polisi umum insurans mengecualikan perlindungan pandemik, kami berbesar hati untuk mengubah perkara itu dengan mempertingkatkan perlindungan dan menjadi syarikat insurans pertama dalam pasaran yang memperkenalkan Perlindungan Pandemik dengan liputan meluas untuk percutian ke luar negara.
“Sejak dilancarkan, pelan ini menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan pelancong dan kami menjangkakan permintaan akan terus berkembang.
“Kami yakin liputan ini akan menangani jurang perlindungan dalam pasaran dan memberi manfaat kepada semua pelancong,” katanya dalam kenyataan.
Selain Perlindungan Pandemik untuk perjalanan ke luar negara, SmartTraveller Enhanced ̶turut dilengkapi dengan perlindungan komprehensif yang lain seperti:
* Elaun Hospital sehingga RM10,500 (atau RM350/sehari untuk percutian luar negara)
* Pampasan Terhadap Kerosakan Barangan Peribadi & Ketidakselesaan Perjalanan sehingga RM7,500
* Pembatalan & Sekatan Perjalanan sehingga RM20,000
* Pemindahan Perubatan Kecemasan & Penghantaran Pulang
* Kemudahan serahan tuntutan dalam talian. – UTUSAN










