Automasi pemasaran era internet kebendaan (IoT) - Utusan Malaysia

Automasi pemasaran era internet kebendaan (IoT)

PERALIHAN era internet kebendaan (IoT) turut dikenali sebagai era lambakan maklumat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Strategi pemasaran sememangnya akan sentiasa berkembang dan berevolusi seiring dengan kemajuan teknologi serta trend gaya hidup masyarakat. Kemajuan teknologi, perubahan cara kerja serta trend gaya hidup yang kita kecapi hari ini juga turut menjadi faktor yang memberi impak terhadap peralihan budaya pasaran yang terus berkembang ke arah pengaruh digitalisasi di seluruh dunia. Begitu juga dengan krisis pandemik yang memaksa perubahan cara hidup terhadap kepentingan digital secara drastik dengan lebih meluas.

Antara cabaran sepanjang mendepani peralihan pasaran hasil pengembangan digital era internet kebendaan (IoT) dan impak krisis pandemik sehinggalah kepada fasa endemik adalah memastikan agar kepentingan pelanggan serta hubungan diantara sektor perniagaan dan prospek pasaran dapat terus terjamin. Atas faktor tersebut, setiap organisasi perniagaan kini perlu merangka dan melaksanakan strategi pemasaran yang lebih teratur agar dapat terus berkembang dalam penguasaan ekonomi digital dan komunikasi pasaran.

Kesan ini turut memberi cabaran baharu kepada segenap sektor perniagaan dan industri dalam mengadaptasi transformasi digital. Rangka kerja pemasaran dalam memastikan perhubungan strategik yang konsisten dan efektif kepada prospek pasaran juga menjadi salah satu agenda penting. Oleh itu, bagi memudahkan pelaksanaan yang strategik, automasi pemasaran dilihat sebagai salah satu solusi pilihan terbaik dalam menjaga kepentingan bagi sebahagian besar perniagaan pada hari ini dalam menambahbaik hubungan pasaran.

Automasi pemasaran merupakan kaedah penggunaan program perisian dan teknologi untuk menyokong proses pemasaran seperti pengurusan data dan pelaksanaan pemasaran serta promosi secara automatik. Ia membantu dalam mengurus komunikasi pasaran bagi pengukuhan kredibiliti penjenamaan dan menjana prospek pelanggan, serta merangkumi pelbagai lagi proses pemasaran kepada segmen pelanggan dengan lebih mudah dan pantas. Ia juga merupakan solusi bagi menggantikan proses sebaran maklumat dan analisa pasaran yang sebelum ini dilakukan secara manual, tetapi kini dapat dilaksanakan dengan lebih efisien menggunakan perisian berasaskan data secara automatik.

PELAKSANAAN STRATEGI
Berdasarkan Ultimate Automation Marketing Statistics, secara purata sebanyak 49 peratus syarikat perniagaan hari ini telah mula menambah baik pengurusan pemasaran dengan sokongan perisian automasi pemasaran. Ini bermaksud, segala pelaksanaan strategi pemasaran menjadi lebih mudah direalisasikan melalui sokongan sistem automasi robotik untuk komunikasi pasaran yang lebih pantas dan berkredibiliti serta pengurusan masa yang lebih efektif.

Terdapat empat elemen pemasaran yang kini dipermudahkan dengan manfaat automasi pemasaran iaitu pemasaran e-mel, integrasi pengurusan hubungan pelanggan (CRM), pemasaran media sosial dan pengurusan kempen pemasaran merentasi pelbagai saluran digital. Antara kaedah yang dilaksanakan adalah memanfaatkan pengkalan data untuk capaian informasi pemasaran dan promosi dengan lebih menyeluruh pada tempoh masa dan landasan yang ditetapkan serta bersesuaian dengan aspirasi yang dirancang oleh sesebuah perniagaan.

Antara perisian automasi pemasaran yang sering digunakan adalah Hubspot yang membantu dalam pembangunan pemasaran kandungan. Manakala perisian Addon pula dimanfaatkan untuk mengurus pemasaran emel. Ia turut memudahkan pelanggan sedia ada atau prospek pelanggan yang menerima emel untuk turut mengetengahkan ulasan terhadap produk atau perkhidmatan yang menjadi portfolio, testimoni atau review untuk rujukan prospek pasaran.

Automasi pemasaran membantu dalam meningkatkan nilai pulangan pelaburan (ROI) bagi kebanyakkan kempen dan pengurusan pemasaran. Integrasi pemasaran yang dilaksanakan di pelbagai platform digital menjadi lebih mudah diurus tadbir serta memberikan analisa penghasilan dalam membantu perniagaan untuk terus menambah baik strategi pemasaran dengan lebih berkesan dari masa ke semasa. Ia juga merupakan salah satu aset perniagaan dalam mendepani arus persaingan digitalisasi pada era internet kebendaan kini.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN