ATLAS Vending sokong pemulihan PKS - Utusan Malaysia

ATLAS Vending sokong pemulihan PKS

MPP di universiti dibenarkan menjana pendapatan sendiri menerusi program keusahawanan membabitka perniagaan mesin layan diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DITUBUHKAN  sejak 1980, ATLAS Vending adalah penyedia penyelesaian mesin layan diri terkemuka yang menawarkan pelbagai jenis mesin layan diri, produk minuman serta penyelesaian sistem bagi memenuhi keperluan pelanggan. Syarikat ini dibina berasaskan tonggak teknologi layan diri, proses transaksi yang selamat dan kelestarian alam sekitar, pada masa sama turut mengimbangi keutamaan pengguna. 

Diiktiraf oleh Malaysian Book of Records sebagai Pengendali Mesin Layan Diri Makanan dan Minuman Terbesar di Malaysia dan Singapura, syarikat ini turut menawarkan pelbagai rangkaian penyelesaian pengedaran makanan dan minuman bagi memenuhi permintaan pengguna yang merangkumi semua industri dan saluran serta di pelbagai lokasi padat pengguna. 

Ikuti temu bual UTUSAN MALAYSIA bersama Ketua Pemasaran dan Perniagaan Sampingan ATLAS Vending, AMY GAN berkenaan kempen Sapot SME bersempena Hari Malaysia yang lalu, yang melibatkan kolaborasi dengan 13 PKS dari 13 negeri di Malaysia.

 

UTUSAN: Boleh kongsikan mengenai kempen Sapot SME ini dengan lebih lanjut?

AMY GAN: Sempena Hari Malaysia yang lepas, kami di ATLAS Vending mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik. Kami telah memilih Sapot SME sebagai tema untuk kempen ini, kerana berdasarkan laporan berita, sebanyak 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menutup perniagaan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lalu dan hampir 50,000 PKS lain berisiko ditutup.

Kami telah memilih 13 PKS untuk kempen ini, satu PKS dari setiap negeri di Malaysia untuk melambangkan kesatuan yang kita miliki di semua negeri, dan menawarkan mereka mesin layan diri kami sebagai saluran jualan berautomasi. Setiap PKS telah memenuhkan mesin tersebut dengan rangkaian produk masing-masing, yang merupakan produk kegemaran tempatan yang disahkan halal.

Jenama-jenama yang menyertai kempen ini ialah Madina Food (Perlis), Nature’s Fresh (Kedah), Yee Hup Hiong Piah (Perak), TalentCook (Pulau Pinang), TFN Brownie (Selangor), myEureka (Melaka), Rehan (Negeri Sembilan), Azhar Food (Johor), Tokey Sambal Hitam (Pahang), Anopokku (Terengganu), Akifcafe (Kelantan), Heera Enterprise (Sabah) dan Lee Fah Mee (Sarawak). 

 

Apa kelebihan perniagaan mesin layan diri ini? Apa beza ATLAS Vending dengan perniagaan lain dalam kategori sama?

Pertama, lebih mudah menggunakan saluran jualan ini kerana kos pelaburan yang diperlukan lebih rendah berbanding menggunakan kedai fizikal. Kedua, ia tidak memerlukan tenaga fizikal untuk beroperasi kerana ia merupakan mesin layan diri yang beroperasi 24 jam. Ketiga, ia memudahkan urusan jual beli dan pada masa sama mengelakkan penyebaran penyakit berjangkit semasa pandemik dengan mengurangkan kontak semasa jual beli. 

Dengan menggunakan teknologi dan meletakkan produk mereka di dalam mesin layan diri ATLAS Vending, PKS kini mempunyai pilihan untuk mengembangan perniagaan ke lokasi yang baru dengan cara yang lebih mudah, serta mempunyai cara baru untuk mempromosikan produk mereka.

Sebenarnya, mesin layan diri adalah cara ideal untuk pengembangan perniagaan, sama ada ke lokasi yang baharu atau untuk perniagaan dalam talian yang ingin membuka kedai fizikal. 

 

Apakah modal yang diperlukan untuk menggunakan mesin layan diri sebagai saluran jualan bagi jangka masa panjang? Bagaimanakah cara untuk memulakan?

Modal yang dikeluarkan akan bergantung kepada jenis mesin layan diri pilihan setiap PKS, termasuk pilihan lokasi. Pihak ATLAS Vending bersedia untuk berunding dan memberikan khidmat nasihat mengenai pakej yang sesuai untuk para PKS.

PKS yang berminat untuk menjual atau mengedarkan produk mereka melalui mesin layan diri dari ATLAS Vending boleh menghubungi ATLAS Vending melalui talian perkhidmatan pelanggan mereka di 1300-1300-61, Facebook atau kunjungi laman sesawang mereka bagi mendapatkan lebih banyak lagi pilihan untuk berhubung. 

 

Apa pula cabaran yang dihadapi oleh ATLAS Vending dan bagaimana dengan persaingan?

Cabaran yang dihadapi oleh ATLAS termasuk terlalu ramai yang menceburi pasaran ini selain terkesan oleh penutupan lokasi akibat Covid-19. Dengan penutupan tempat di mana mesin layan diri sering digunakan, kami juga terkesan oleh pengurangan pelanggan  dan pendapatan. Namun, kami berjaya mengubah fokus perniagaan dan menceburi jenis aktiviti perniagaan lain, seperti menjalankan kempen promosi serta persampelan bersama rakan kongsi. Matlamat kami adalah untuk meluaskan fokus perniagaan ATLAS Vending dengan menjadi pemboleh perniagaan dan menyediakan aksesibiliti kepada semua komuniti. Matlamat ini boleh dicapai dengan memberi tumpuan pada teknologi, yang merupakan salah satu tonggak utama bagi ATLAS.

 

Sejauh mana pandemik memberi impak kepada perniagaan 13 PKS tempatan yang menyertai kempen Sapot SME?

Kami telah mendapati bahawa ramai usahawan tempatan terpaksa mengecilkan skop pelan perniagaan mereka akibat masalah logistik bekalan, kos sewaan dan pengurangan waktu operasi. Bagi PKS yang banyak bergantung kepada pembelian oleh pelancong, penutupan sempadan dan pelaksanaan PKP telah mengakibatkan kadar jualan turun secara mendadak. 

Oleh itu, melalui kempen Sapot SME, ATLAS Vending telah menyokong kesemua 13 PKS yang menyertai kempen dengan menawarkan penggunaan mesin layan diri kepada mereka selama tiga bulan tanpa perlu membayar sewa dan disertakan juga dengan perkhidmatan isian semula dan penyelenggaraan secara percuma. 

Keuntungan yang diperoleh daripada jualan melalui mesin layan diri dinikmati sepenuhnya oleh 13 PKS selama tiga bulan mulai pertengahan bulan September. Matlamat kami adalah untuk membantu PKS mengharungi pandemik ini dan membantu mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh Malaysia. Pada masa yang sama, kami juga ingin membolehkan rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak dapat merentas sempadan negeri untuk menikmati beberapa produk tempatan kegemaran mereka.

 

Perancangan masa hadapan ATLAS Vending?

Perancangan masa hadapan kami adalah untuk membantu PKS meneruskan aktiviti perniagaan mereka dan menerima norma baru dalam menjalankan perniagaan. Kempen Sapot SME hanyalah fasa pertama dalam rancangan kami untuk melancarkan konsep ATLAS Minit Mart terbaharu.

Dengan adanya konsep Minit Mart, pengguna di Malaysia akan dapat mengakses produk yang biasa mereka beli di kedai serbaneka dan pasar mini melalui mesin layan diri. Mereka kini dapat membeli pelbagai produk dari mesin layan diri, 24 jam sehari, daripada mi segera hingga sambal dan pasta serta rempah untuk memasak dan juga pelbagai jenis makanan ringan goreng tempatan serta buah-buahan kering.

Melalui ATLAS Minit Mart, kami mahu mengubah persepsi dan pandangan rakyat Malaysia terhadap mesin layan diri. Untuk pengetahuan semua, mesin layan diri ini menawarkan lebih banyak variasi produk dan bukan sahaja menjual minuman serta makanan ringan yang biasa didapati di pelbagai lokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya