AirAsia selesai terbitan hak RM974.5 juta - Utusan Malaysia

AirAsia selesai terbitan hak RM974.5 juta

BURSA Securities memberi tempoh lanjutan sehingga 17 Januari 2024 untuk AirAsia X Berhad serahkan pelan penyusunan semula syarikat itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad (AAGB) akan menyelesaikan terbitan hak boleh lepas kepada pemegang saham sedia ada selepas penyenaraian RCUIDS dan waran pada 31 Disember ini berjumlah RM974.5 juta sebagai suntikan kuat untuk menyokong strategi pengumpulan dana secara keseluruhan.

Terbitan hak tersebut termasuk sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) selama tujuh7 tahun (RCUIDS) dengan nilai nominal RM0.75 setiap satu, ditambah waran boleh tanggal percuma, berdasarkan 2 RCUIDS dengan 1 waran bagi setiap 6 pegangan saham AAGB.

“Sebagai komponen utama inisiatif pengumpulan dana AAGB, terbitan hak itu akan membolehkan AAGB menyokong pelbagai segmen di bawah syarikatnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada, modal kerja dan kos operasi lain yang ditanggung akibat pandemik Covid-19 dan kos yang diperlukan untuk meningkatkan operasi sempena pemulihan perjalanan antarabangsa, selain pembiayaan untuk pelbagai unit perniagaan digital AirAsia,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, terbitan hak itu merupakan komponen penting dalam keseluruhan strategi pengumpulan dana AAGB yang menyokong operasi semula perjalanan udara merentasi ASEAN pada 2022.

“Kami telah meneruskan penerbangan di semua pasaran utama kami secara beransur-ansur dan berharap untuk kembali ke tahap pra-Covid bagi laluan popular pada tahun baharu ini di samping peningkatan kadar vaksinasi, prosedur ujian dan pendidikan yang lebih baik di semua pasaran kami.

“Ia juga menunjukkan keyakinan pelabur yang berterusan dalam strategi pemulihan keseluruhan kami termasuk transformasi digital yang telah menerima sokongan yang menggalakkan melalui pelbagai inisiatif pengumpulan dana,” katanya.

Menurut Tony, baru-baru ini, AAGB juga telah mendapat kelulusan daripada Danajamin Nasional Bhd. untuk pinjaman terjamin 80 peratus sehingga RM500 juta, yang menandakan sokongan padu untuk strategi transformasi Kumpulan untuk menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan dalam era digital.

Jelasnya, apa yang penting, pengumuman itu menandakan strategi pengumpulan dana AAGB kekal di landasan tepat.

“Kami kini telah berjaya mencapai pengumpulan dana sehingga lebih RM2.5 bilion, menyediakan mudah tunai yang kukuh untuk meningkatkan operasi sehingga tahun hadapan di mana kami menjangka operasi syarikat akan lebih mampan dan terus memacu nilai pemegang saham.

“Memandangkan transformasi digital kami terus mendapat momentum yang kukuh, kami berharap untuk mengumpul dana baharu bagi airasia Super App yang berkembang pesat, cabang logistik Teleport dan cabang kejuruteraan serantau kami, Asia Digital Engineering (ADE) dalam masa terdekat,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN