PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. dan AEON BiG (M) Sdn. Bhd. (AEON) melancarkan Kempen Selamat & Jimat meliputi dua teras bagi memberikan manfaat yang relevan serta berterusan kepada para pelanggannya.
Dua teras Kempen Selamat & Jimat yang bermula hingga 28 Februari 2022 itu ialah #AEONHargaJamin dan #AEONJaguhPerlindungan.
Menurut Timbalan Pengarah Urusan AEON, Tsutomu Motomura, AEON sentiasa berusaha untuk memberikan nilai tambah kepada para pelanggan kerana sedar akan cabaran yang dihadapi oleh rakyat ekoran daripada pandemik.
“Kami bersyukur kerana #AEONHargaJamin berjaya dilancarkan untuk membantu meringankan kos harian kehidupan.
“Kami yakin usaha ini mampu membantu rakyat dalam mengharungi cabaran inflasi. AEON sentiasa komited untuk mengutamakan para pelanggan kami dan dalam pada itu adalah perlu untuk memastikan kelestarian syarikat. Perkara ini sama penting jadi perlu diseimbangkan dengan baik untuk terus maju bersama,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran inisiati itu, semalam.
Tsutomu berkata, #AEONJaguhPerlindungan pula memaparkan komitmen berterusan AEON untuk memberikan pengalaman membeli belah yang baik dan menyenangkan kepada para pelanggan dalam suasana yang bersih, selesa dan terkawal.
Kata beliau, dalam memastikan kesejahteraan semua, hampir keseluruhan AEON Warriors serta ekosistemnya telah divaksin, kerja-kerja pembersihan dan pembasmian pula diadakan secara berkala di kesemua cawangan AEON.
“Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) di setiap cawangan AEON juga dijalankan dengan ketat termasuklah pemeriksaan suhu dan rekod mySejahtera di pintu masuk, pengumuman peringatan tentang SOP dimainkan secara berkala dan cecair pembasmian kuman sentiasa disediakan,” katanya.
Menurut AEON, #AEONHargaJamin memberikan perlindungan dan jaminan harga terhadap inflasi dengan menyenaraikan lebih daripada 500 barangan keperluan asas merangkumi 45 peratus daripada barangan keperluan harian.
“Para pelanggan AEON yang memegang kad keahlian AEON Member Plus akan mendapat lebih penjimatan apabila berbelanja di cawangan-cawangan AEON atau secara atas talian kerana kesemua barangan yang tersenarai telah diberikan perlindungan jaminan harga daripada inflasi,” katanya.
Tambahnya, #AEONJaguhPerlindungan pula memaparkan komitmen berterusan AEON dalam menyediakan tahap servis yang terbaik bagi ketenangan fikiran kepada para pelanggan demi pengalaman membeli belah yang menyenangkan di dalam persekitaran yang bersih dan selamat.
“Sehingga hari ini, hampir 98 peratus kakitangan AEON telah mendapat dua dos vaksinasi. AEON juga terus memberikan komitmen penuh dalam memastikan kesejahteraan para pelanggan dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan serta sanitasi secara berkala di kawasan-kawasan awam di dalam pusat beli belah AEON. Penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) di cawangan-cawangan AEON juga dijalankan dengan ketat,” jelasnya. – UTUSAN










