
PETALING JAYA: Penularan wabak Covid-19 telah mengakibatkan banyak perniagaan yang terkesan termasuk sektor hartanah dan automotif tempatan.
Boleh diibaratkan, 2021 merupakan tahun paling mencabar buat sektor berkenaan apabila mengalami penurunan ketara dari segi jualan. Namun, pembukaan semula sektor ekonomi telah kembali merancakkan kedua-dua sektor berkenaan khususnya automotif yang menyaksikan jualan kenderaan kembali rancak, meskipun masih di bawah pencapaian tahun sebelumnya.
Dalam sektor hartanah, Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi ALIY Group, Datuk Mohd. Ali Majis berpendapat, pasaran sektor hartanah negara mula lembab sejak 2016.
“Antara cabaran yang dihadapi adalah dari segi permintaan dan penawaran kerana ketidakseimbangan ekonomi dari segi pendapatan rakyat dan kos sara hidup yang tidak sekata.
“Kos sara hidup semakin meningkat tetapi, tangga gaji pekerja masih sama atau meningkat sedikit sahaja. Jadi ia tidak seimbang dengan nilai hartanah yang mampu dimiliki sekarang.
“Rumah mampu milik sepatutnya bernilai RM150,000 hingga RM250,000 tetapi rata-rata pemaju menawarkan harga rumah mampu milik RM300,000 ke atas.
“Oleh itu, ia merupakan satu cabaran besar untuk golongan B40 dan M40 memiliki hartanah sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam sidang Parlimen sebelum ini turut mendedahkan, terdapat kira-kira 30,000 rumah tidak terjual di seluruh negara melibatkan nilai RM20 bilion.
NILAI SUSUT
Mohd. Ali memberitahu, pandemik Covid-19 telah menjejaskan nilai hartanah mewah dari segi permintaan sehingga menyebabkan nilainya susut sebanyak 20 hingga 30 peratus bergantung kepada lokasi dan jenis hartanah, namun tidak semua yang terkesan.
Kini, hartanah yang bernilai lebih RM500,000 tidak lagi terjual memandangkan tiada pembeli yang mampu menampung kos tersebut.
“Walaupun kini ekonomi sudah bergerak semula, sektor hartanah masih terjejas dan belum ada pemulihan sepenuhnya.
“Kita juga tidak boleh memaksa pemaju untuk menurunkan harga kerana harga barang binaan juga semakin meningkat,” katanya.
Mohd. Ali berpendapat, skim-skim dan kempen yang diwujudkan oleh pemaju dan kerajaan hanya membantu menyelesaikan masalah pemilikan rumah sebanyak 30 peratus sahaja.
Menurut beliau, birokrasi dan penguatkuasaan adalah masalah utama. Kerajaan harus wujudkan satu badan sistem berpusat untuk menguatkuasakan rumah mampu milik khususnya buat golongan B40 dan M40.

SEKTOR AUTOMOTIF
Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, antara cabaran yang dihadapi oleh sektor automotif ialah penutupan premis dan kilang kenderaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
“Selain itu, kekurangan pembekalan cip mikro dan kekurangan pekerja di kilang pemasangan kami turut menjejaskan sektor ini.
“Cabaran terkini ialah bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri yang akan menjejaskan jualan kenderaan.
“Bagaimanapun, pengecualian cukai jalan sehingga akhir Jun 2022 akan membantu meningkatkan jualan kenderaan,” katanya.
Aishah mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk 2021 sebanyak 500,000 unit.
Menurut MIDF Research, prestasi sektor automotif pada 2021, didorong terutamanya oleh gangguan pengeluaran akibat PKP 3.0 yang berlaku selama 2.5 bulan.
Selain itu, pada awal tahun ini, sektor automotif turut mengalami gangguan dalam penghantaran kerana tahap inventori yang rendah.
Jelas MIDF Research, TIV untuk tahun kewangan 2021 telah disemak menurun kepada 509,951 unit daripada 550,000 unit sebelumnya, penguncupan 3.7 peratus tahun ke tahun.
Ia berikutan semakan menurun sepanjang musim keputusan baru-baru ini mengambil kira faktor kekurangan pengeluaran yang disebabkan langkah kawalan pergerakan selama 2.5 bulan.
Firma penyelidikan itu meramalkan TIV untuk 2022 pada 570,000 hingga 580,000 unit (pertumbuhan sebanyak 12 peratus hingga 14 peratus tahun ke tahun).
Ramalan itu mengandaikan TIV kembali ke tahap yang lebih rendah seperti sebelum pandemik walaupun mendapat sokongan daripada cukai jualan selama separuh tahun.
“Sekiranya kesesakan rantaian bekalan kurang teruk daripada yang dijangka, TIV 2022 boleh meningkat melebihi 600,000 unit. Sebaliknya, jika ekonomi negara ditutup semula, TIV kami akan terjejas,” katanya. – UTUSAN










