PETALING JAYA: RHB Bank Berhad (RHB Bank) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.99 bilion untuk tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2021, berbanding RM1.59 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
Menurut bank tersebut, peningkatan dalam keuntungan bersih disumbangkan oleh pendapatan berasaskan dana bersih lebih tinggi dan kerugian pengubahsuaian bersih lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh elaun lebih tinggi untuk kerugian kredit, perbelanjaan operasi lebih tinggi dan pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih rendah.
“Pendapatan berasaskan dana bersih bank meningkat kepada RM4.38 bilion didorong oleh kos pembiayaan proaktif pengurusan, yang turun 28.9 peratus tahun ke tahun disokong oleh pertumbuhan akaun simpanan semasa (CASA) sebanyak 4.8 peratus.
“Pendapatan berasaskan bukan dana pula merosot kepada RM1.74 bilion, terutamanya daripada dagangan bersih dan pendapatan pelaburan yang lebih rendah yang mengimbangi lebihan taja jamin insurans lebih tinggi dan pertumbuhan pendapatan yuran daripada pasaran modal, pengurusan aset dan perbankan komersial,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, RHB Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM635.59 juta daripada RM622.52 juta setahun lalu berikutan jumlah pendapatan yang lebih tinggi.
Pendapatan Kumpulan turut meningkat kepada RM3.03 bilion daripada RM2.95 juta sebelumnya.
Secara keseluruhan, jumlah aset Kumpulan itu meningkat 3.6 peratus dari Disember 2020 kepada RM280.9 bilion pada 30 September 2021.
Pinjaman dan pembiayaan kasarnya meningkat sebanyak 4.6 peratus setakat ini kepada RM194.6 bilion, kebanyakannya disokong oleh pertumbuhan dalam gadai janji, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial dan Singapura.
Pinjaman dan pembiayaan domestik Kumpulan juga meningkat 2.6 peratus setakat ini, manakala deposit pelanggan meningkat 5.2 peratus kepada RM214 bilion disebabkan oleh pertumbuhan deposit tetap dan masa pasaran wang sebanyak 6.6 peratus serta CASA sebanyak 2.8 peratus.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, bank itu meneruskan momentum positifnya dalam sembilan bulan pada 2021 disokong oleh asasnya yang kukuh.
“Kami kekal sebagai bank yang mempunyai modal terbaik dalam industri dengan tahap mudah tunai yang kukuh.
“Namun, RHB akan terus berhati-hati memantau kualiti aset dan membuat peruntukan kredit proaktif apabila perlu sambil kami berusaha mengekalkan pendirian berhemat kami,” katanya. – UTUSAN










