PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) bersih sebanyak RM858 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 berakhir 30 September lalu.
Keuntungan tersebut merupakan 17.7 peratus lebih tinggi berbanding suku sama tahun kewangan sebelumnya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Domenic Fuda berkata, keuntungan tinggi berjaya dicatatkan disokong oleh pertumbuhan yang cemerlang, pengurusan perbelanjaan berdisiplin, elaun susut nilai pinjaman lebih rendah dan sumbangan tinggi daripada sekutunya.
Kata beliau, pelaksanaan berterusan keutamaan strategik HLB membolehkan syarikat perbankan itu berdiri di atas asas yang kukuh bagi memulakan tahun kewangannya dengan keputusan yang cemerlang untuk suku pertama.
“Pinjaman kasan dan pertumbuhan kewangan dalam keadaan sihat pada 5.2 peratus tahun ke tahun, dipacu sentimen perniagaan positif dan pemulihan ekonomi sepanjang suku tersebut selain pengembangan dalam perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat.
“Sementara memastikan semua klien menerima bantuan yang diperlukan, kami terus memantau dengan rapat dan mengekalkan kualiti aset, menamatkan suku ini dengan nisbah pinjaman susut nilai kasar (GIL) pada 0.48 peratus,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut HLB, pihaknya berjaya mencatatkan pendapatan keseluruhan pada suku pertama tahun kewangan 2022 sebanyak RM1.38 bilion, meningkat 2.3 peratus tahun ke tahun dengan sokongan pengembangan pinjaman dan pengewangan, pengurusan aset-liabiliti yang cermat dan pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi.
Sementara itu, satu lagi kumpulan perniagaan di bawah Hong Leong Financial Group, Hong Leong Capital Berhad (HLCB) mencatatkan keuntungan bersih RM28.8 juta untuk suku pertama tahun kewangan 2022, berkurang 36.7 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Menurut syarikat itu, penurunan prestasi tersebut disebabkan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada anak syarikat operasi utamanya, Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) dalam tempoh tersebut.
Pengerusinya, Tan Kong Khoon berkata, dalam tempoh penilaian tersebut, jumlah dagangan dalam Bursa Malaysia dalam trend menurun dan ia memberi kesan kepada prestasi syarikat dalam perniagaan pembrokeran saham.
“Kami perlu terus berhati-hati terhadap unjuran perniagaan kami dan sentiasa memantau risiko peningkatan semula kes COvid-19 namun tetap berharap ekonomi akan terus pulih menjelang 2022,” katanya. – UTUSAN










