UEM Edgenta catat prestasi kukuh, pendapatan RM1.6 bilion - Utusan Malaysia

UEM Edgenta catat prestasi kukuh, pendapatan RM1.6 bilion

SYAHRUNIZAM SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM23.1 juta pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 dengan pendapatan sebanyak RM1.6 bilion, berbanding kerugian bersih sebanyak RM34.6 juta dan pendapatan sebanyak R1.4 bilion tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat sebanyak RM45.3 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM11.2 juta pada sembilan bulan tahun kewangan 2020.

Menurut UEM Edgenta, pendapatan pada suku ketiga tahun kewangan dilaporkan, meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM571.9 juta berbanding RM538.6 juta suku sebelumnya.

“Keuntungan bersih suku dilaporkan melonjak sebanyak 38.5 peratus daripada RM6.3 juta kepada RM8.7 juta,” katanya dalam kenyataan mengumumkan keputusan kewangan kewangan yang belum diedit bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021.

Menurut syarikat itu, pertumbuhan pendapatan bagi kedua-dua tahun dan prestasi kewangan suku ke suku adalah bukti usaha syarikat berhemat dan berdaya tahan di samping memperkukuhkan strategi pertumbuhan dengan memberi fokus kepada produk baharu dan penyelesaian berteraskan teknologi, pengembangan ke pasaran baharu dan menjalin kerjasama serantau.

Sehingga 30 September lalu, kunci kira-kira UEM Edgenta kekal kukuh dengan mengekalkan nisbah gearan yang rendah pada 0.3 kali, jelasnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat sedang menuju ke arah perkembangan prestasi yang positif di samping terus meningkatkan tahap kemahiran dan perkhidmatan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan.

“Kami teguh dalam meletakkan UEM Edgenta secara strategik dalam industri penyelesaian sokongan penjagaan kesihatan, serta syarikat penyelesaian infrastruktur terkemuka di rantau ini, dipacu oleh visi
‘Edgenta of the Future 2025’ kami.

“Penyelesaian digital kami yang mampan, terutamanya dalam sokongan penjagaan kesihatan dan pengurusan aset, akan mengukuhkan kedudukan UEM Edgenta sebagai pemain utama dalam usaha pemulihan negara ketika negara bersiap sedia ke arah mempergiatkan semula ekonomi memandangkan kita kini memasuki fasa endemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN