TNB tingkat kapasiti tenaga RE - Utusan Malaysia

TNB tingkat kapasiti tenaga RE

PROJEK empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang bernilai RM5 bilion, menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan tenaga boleh diperbaharui (RE), selain membawa pelbagai manfaat dengan menyelesaikan beberapa isu demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, sebagaimana empangan-empangan lain milik TNB seperti di Skim Hidroelektrik Cameron Highlands, Sungai Perak dan Kenyir, empangan Nenggiri bakal memberi manfaat tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

“Air yang ditakung dalam tasik takungan utamanya akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam Sungai Nenggiri dan ini dapat membantu mengawal banjir di hilir empangan ini.

“Selain membantu mengurangkan banjir, ia juga berupaya membantu Kerajaan Negeri Kelantan mengatasi isu pembekalan air bersih serta pengairan untuk pertanian, dan membuka peluang pekerjaan ketika pembinaannya dan mewujudkan peluang ekonomi baru di tasik takungan utamanya.

“Seperti dibuktikan di Tasik Banding di Perak (Empangan Temengor) dan Tasik Kenyir di Terengganu (Empangan Sultan Mahmud), penduduk setempat juga akan meraih manfaat ekonomi terutamanya dari sektor pelancongan, rekreasi, pertanian, perniagaan kecil serta pembangunan prasarana,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pertukaran dokumen perjanjian projek itu dan penyerahan pampasan di Pejabat Menteri Besar Kelantan pada 2 November lalu.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

TAKIYUDDIN Hassan (tengah) menyaksikan Ahmad Yakob (kiri) dan Baharin Din menyerahkan dokumen perjanjian pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri Dan Penyerahan Cek Pampasan di Pejabat Menteri Besar Kelantan baru-baru ini.

Projek empangan hidroelektrik Nenggiri yang dijangka beroperasi pada 2026 itu bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila siap nanti.

Baharin menjelaskan, empangan hidroelektrik Nenggiri akan meningkatkan kapasiti penjanaan RE TNB, sejajar menjadi penggerak utama peralihan industri tenaga negara.

Apabila siap kelak, ia dapat mengukuhkan usaha TNB memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara.

“Projek tersebut menyokong aspirasi tenaga lestari TNB menuju ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050 yang dipacu oleh komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

“Justeru, ia menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga hijau negara kepada 40 peratus pada 2035.

“Untuk rekod, kapasiti penjanaan elektrik TNB di Semenanjung ketika ini merangkumi 18.0 peratus hidroelektrik (2,536 MW), 0.6 peratus solar (80 MW), 48.2 peratus arang batu (6,800 MW) dan 33.3 peratus gas (4,702.43 MW),” katanya.

Baharin turut menyifatkan projek itu sebagai satu amanah TNB kepada rakyat terutama peranan dan komitmen TNB terhadap alam sekitar.

Lantaran itu, TNB telah melaksanakan kesemua kerja awalan dan kajian-kajian yang diperlukan untuk membangunkan projek itu.

TNB juga telah memperolehi semua kelulusan yang diperlukan seperti Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial, Kajian Impak Warisan, dan sebagainya.

Komuniti Orang Asli yang terlibat secara langsung dengan projek itu, khususnya dari Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kg. Wias akan dipindahkan ke penempatan baharu dengan infrastruktur dan keperluan asas yang lebih baik dan selesa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN