KUALA LUMPUR: Anak syarikat Lembaga Tabung Haji (TH), TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) memeterai Perjanjian Usahasama (MoA) dengan syarikat perkhidmatan kurier, Cargomind Sdn. Bhd. (Cargomind).
Ketua Pegawai Eksekutif THTS, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, kerjasama itu satu pencapaian yang baik untuk meningkatkan lagi nilai komersial THTS.
“Saya amat bangga dengan kerjasama ini memandangkan Cargomind adalah syarikat bumiputera bertaraf Multimodal Transport Operator (MTO) dan mempunyai jaringan yang luas di seluruh dunia.
“Itu memberikan ruang dan peluang kepada THTS untuk meneroka bidang perniagaan kargo sepertimana yang pernah diceburi oleh kami sebelum ini,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Perniagaan Perkhidmatan Kurier, di sini semalam.
Ujarnya, Courier Centre Kargomind Express pertama yang dikendalikan oleh THTS di Menara TH Selbourn, Kuala Lumpur, itu akan mula beroperasi pada awal Disember ini.
Ahmad Ruzman memberitahu, THTS dijangka akan membuka beberapa buah pusat kurier pada masa depan. Antara lokasi sasaran ialah Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Johor Bahru, Bandar Kaba, Ipoh, Butterworth, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Kuching.
Dalam pada itu, Ahmad Ruzman berkata, pihaknya telah berhubung dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang menafikan dakwaan pihaknya telah mengeluarkan arahan mengehadkan ibadah umrah hanya untuk jemaah berusia antara 18 tahun hingga 50 tahun.
“Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan berita berhubung penetapan had umur permit umrah itu tidak benar, malah pihak di sana terkejut dengan berita itu kerana dikhuatiri merisaukan bakal jemaah.
“Kami berharap dan merayu kepada pihak media untuk berhati-hati dengan sumber yang dirujuk kerana ia boleh menyebabkan usaha kami untuk menghidupkan semula sektor umrah terbantut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Cargomind, Zahrol Ahmad berkata, kerjasama itu diyakini dapat memberi impak yang positif kepada ekonomi negara.
“Saya yakin dengan kebolehan yang ada, kerjasama ini mampu memberikan saingan yang setanding dengan syarikat antarabangsa.
“Cargomind komited untuk membangunkan sebuah syarikat perkhidmatan kurier tempatan di Malaysia dengan melahirkan syarikat kurier tempatan berjenama Kargomind Express.
“Beroperasi di hampir 40 lokasi di seluruh Malaysia, Cargomind mensasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 300 pusat kurier di seluruh Malaysia menjelang suku ketiga 2022,” katanya. – UTUSAN










