Tangguh, teliti semula ratifikasi CPTPP – DPMM - Utusan Malaysia

Tangguh, teliti semula ratifikasi CPTPP – DPMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menangguhkan proses meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan mengambil masa mengkaji serta meneliti kesan daripada perjanjian tersebut.

Menurut Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin, langkah itu perlu agar tidak menjadi penghalang kepada semua perusahaan tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk pulih dan bergerak ke hadapan dalam pascapandemik ini.

Ujarnya, antara sebab kerajaan perlu menangguhkan perjanjian bebas itu adalah kerana Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara di mana Malaysia tidak dapat mengubah pelaburan dari luar, sekali gus menjadikan tindakan afirmatif untuk peniaga Melayu tidak dapat dijalankan.

“Apabila CPTPP dilaksanakan, memang Malaysia menjadi lebih bebas untuk mendapatkan pelaburan asing namun sekiranya pergerakan mereka terlalu bebas, ini mengakibatkan PKS rasa tertekan.

“Ini kerana, PKS yang mendapat keuntungan adalah mereka yang telah mengeksport produk ke negara ahli CPTPP lain sedangkan PKS yang telah mengembangkan perniagaan ke luar negara adalah sangat kecil iaitu hanya 8.5 peratus perusahaan.

“Kebanyakan PKS tempatan membekalkan perkhidmatan, jadi ia lebih kepada pasaran tempatan sahaja. Justeru, kerajaan perlu mengkaji semula adakah perjanjian mega ini memberi kelebihan kepada perniagaan tempatan secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tambah beliau, kerajaan seharusnya memfokuskan pemulihan ekonomi rakyat terutamanya PKS tempatan terlebih dahulu kerana pandemik Covid-19 telah menyaksikan banyak perniagaan gulung tikar dan memerlukan bantuan untuk terus beroperasi.

“Jika perjanjian tersebut diratifikasi, DPMM khuatir lambakan produk luar negara akan memberi tekanan lebih besar dalam situasi sukar ini,” ujarnya.

Kelmarin, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan Malaysia dijangka dapat meratifikasi CPTPP selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Kata beliau, ia berikutan kajian analisis kos faedah (CBA) perjanjian itu yang dijangka dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN