Syarikat Taiwan bakal labur AS$1 bilion di Malaysia - Utusan Malaysia

Syarikat Taiwan bakal labur AS$1 bilion di Malaysia

LAKARAN artis pembangunan yang bakal dibuat oleh ALP di Omega, Bukit Raja, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ally Logistic Property Co. Ltd. (ALP) bakal melabur AS$1 bilion (RM4.15 bilion) di Malaysia untuk membangunkan penyelesaian penggudangan pintar dan menyemarakkan industri logistik negara.

Menurut syarikat penggudangan terbesar Taiwan itu, pelan pengembangannya di Malaysia telah bermula dengan pembangunan penggudangan seluas 27 ekar bernilai AS$180
juta (RM746.73 juta), OMega di Bukit Raja, Selangor.

Katanya, OMega merupakan platform penggudangan banyak tingkat dan berpaksikan teknologi yang dibina dengan hiperautomasi dan ia adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Ia direka bentuk untuk membentuk bukan sahaja jenama dan peruncit Malaysia tetapi juga multinasional bagi mencapai peningkatan dalam kecekapan dan ketepatan yang  lebih tinggi dalam membuat keputusan sebagai tindak balas kepada turun naik yang tinggi dalam e-dagang dan perkembangan pesat pendigitalan.

“Kemudahan berkenaan dijang ka menyediakan sekitar 500 peluang pekerjaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP, Charlie Chang berkata, industri rantaian bekalan Malaysia merupakan satu peluang besar yang belum diterokai dan pelaburan berskala besar serta model perniagaan ekonomi perkongsian merupakan kunci untuk membawa perubahan industri tersebut.

“Pasaran Malaysia menawarkan potensi yang cukup besar dan kami yakin pelaburan kami di sini akan menarik lebih banyak penggiat serantau dan pelaburan bernilai tinggi  untuk memacu aspirasi Malaysia ke arah menjadi hab e-dagang serantau.

“OMega ALP memperkenalkan model operasi kolaboratif bagi merealisasikan peluang ekonomi baharu dan memacu pertumbuhan industri, selain memperkasakan jenama-jenama tempatan dalam perjalanan transformasi digital mereka untuk mencapai pasaran baharu dan meraih kekayaan,” katanya.

ALP berkata, skala OMega yang besar membolehkan pihaknya memperkenalkan struktur gudang perkongsian yang menawarkan  fleksibiliti untuk menyokong pengembangan perniagaan pelanggannya.

“Selain itu, skala sedemikian membolehkan OMega menampung keseluruhan industri vertikal untuk mengurangkan rantaian bekalan masing-masing, mempercepat perolehan bahan dan produk serta mengurangkan modal kerja dan kos pengedaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN