PETALING JAYA: Axiata Group Bhd. melantik bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan sebagai pengarah bebas bukan eksekutifnya, berkuat kuasa semalam.
Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata, lembaga pengarah Axiata berbesar hati mengalu-alukan Shahril sebagai lembaga pengarah kumpulan itu.
“Beliau bukan sahaja seorang pemimpin korporat yang berprestasi tinggi, malah tidak asing dengan operasi Axiata berdasarkan peranannya sebelum ini.
“Di samping berpengalaman luas dalam menerajui organisasi kebangsaan, beliau mempunyai pemahaman yang kukuh tentang apa yang diperlukan untuk trajektori berterusan Axiata sambil kami berdepan perubahan norma baharu seterusnya ke arah pertumbuhan baharu pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Shahril, yang mengetuai Khazanah sebagai Pengarah Urusan dari Ogos 2018 hingga Ogos 2021, kini turut berkhidmat sebagai pengarah bukan eksekutif Malaysia Airlines Bhd. dan Malaysia Aviation Group Bhd., di mana beliau mempengerusikan jawatan kuasa pencalonan dan imbuhan lembaga.
Sebelum bersama Khazanah, Shahril adalah ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dipengerusikan selama lebih lima tahun dari April 2013 hingga Ogos 2018.
Beliau juga merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dana persaraan selama lebih tiga tahun sebelum itu.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris memaklumkan, kehadiran Shahril sebagai barisan lembaga pengarah bakal mengukuhkan lagi tadbir urus kumpulan.
Saham Axiata ditutup lapan sen atau 2.05 peratus lebih tinggi kepada RM3.98 semalam, menjadikan permodalan pasaran kumpulan telekomunikasi itu melonjak RM36.52 bilion. – UTUSAN










