PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan tiga lagi saluran bayaran baharu bagi bayaran balik pinjaman PTPTN dan simpanan dalam Simpan SSPN.
Tiga saluran tersebut AnsaraPay, PayHalal dan SPayGlobal.
Sempena pelancaran saluran bayaran baharu itu, PTPTN dengan kerjasama AnsaraPay, PayHalal dan ShopeePay turut menganjurkan kempen Click, Pay & Earn is Back! kepada semua pelanggannya.
“Dengan konsep `siapa cepat dia dapat’, pengguna terawal yang menggunakan saluran bayaran untuk bayaran balik pinjaman PTPTN atau simpanan melalui Simpan SSPN berpeluang mendapat pulangan menarik yang ditawarkan. Tempoh kempen ini bermula 11 November 2021 hingga 11 Januari 2022,” kata PTPTN dalam kenyataan.
Menurutnya, pelancaran saluran bayaran baharu dan kempen Click, Pay & Earn is Back! telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid di Menara PTPTN, Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir, Pengerusi AnsaraPay, Datuk Khushairi Wahijan; Pengurus Negara PayHalal, Azizul Fikri Ab. Rahman dan Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee.
Ahmad Dasuki berkata, bagi menggalakkan bayaran tanpa tunai, PTPTN sentiasa komited dan proaktif untuk memastikan perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung (End to End) terus diperkasa dengan mempelbagaikan kemudahan di samping menyediakan kempen menarik bagi menggalakkan masyarakat menggunakan saluran itu.
“Kemudahan saluran bayaran dalam talian itu selaras dengan Teras Strategik ke-5, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya.
Sementara itu, Khushairi berkata, kerjasama strategik antara PTPTN dan Ansara untuk membantu peminjam membuat pembayaran secara dalam talian melalui aplikasi e-Wallet AnsaraPay. – UTUSAN










