KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) di atas pencapaian Penyediaan Pelan Guna Tanah Terpantas bagi Bandar Kuala Kubu Bharu dengan konsep From Garden City to Smart Garden City dalam tempoh satu jam.
Sijil pengiktirafan telah disampaikan oleh Perunding Kanan (Rekod) MBoR, Siti Hajar Johor kepada Ketua Pengarah PLANMalaysia, TPr Gs Dr. Shamsaini Shamsuddin.
Majlis disempurkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib.
Menurut KPKT, pengiktirafan itu sangat bermakna dan merupakan salah satu pengisian sempena Sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia.
“Penyediaan pelan guna tanah ini memberi fokus kepada Bandar Kuala Kubu Bharu (KKB) yang merupakan bandar baharu pertama di Tanah Melayu (First well planned city) yang telah dirancang oleh perancang bandar pertama Tanah Melayu pada 1924 iaitu Charles Compton Reade (C.C. Reade).
“Perancangan Bandar KKB telah menerapkan konsep Bandar Dalam Taman (Garden City) yang telah diperkenalkan oleh Sir Ebenezer Howard, seorang Perancang Bandar Britain sekitar 1890-an dan beliau juga merupakan pengasas kepada Garden City Movement,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tambahnya, Pelan Guna Tanah Terpantas itu telah disediakan oleh 20 peserta terdiri daripada pegawai di PLANMalaysia dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Katanya, pegawai-pegawai terbabit berkemahiran dalam penyediaan pelan guna tanah menggunakan perisian Quantum GIS (QGIS).
“Peserta telah menerapkan elemen bandar pintar di dalam penyediaan Pelan Guna Tanah tersebut seperti smart street lighting, smart CCTV, smart trash bin dan smart traffic light.
“Mereka ini telah berjaya mengemaskini kesemua lot kadaster Bandar Kuala Kubu Bharu seluas 1,592.16 hektar yang melibatkan sejumlah 6,106 lot secara serentak,” katanya. – UTUSAN










