PETALING JAYA: Pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus bakal membantu negara mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sekitar 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun hadapan.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, kadar OPR tersebut dikekalkan mengambil kira ekonomi negara masih lagi dalam fasa pemulihan dan kadar inflasi yang terkawal.
Justeru, beliau berkata, masih tiada keperluan untuk mengekang pertumbuhan ekonomi semasa dengan meningkatkan kadar OPR.
“Namun, saya melihat Bank Negara Malaysia (BNM) akan memantau pertumbuhan ekonomi pada suku tahun pertama (2022) nanti terutamanya kadar inflasi.
“Ini kerana, di peringkat global telah berlaku sedikit krisis atau gangguan kepada rantaian bekalan global yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 1.75 peratus.
Bank pusat itu berkata, ekonomi global terus berada pada landasan pemulihan, disokong oleh pengembangan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.
Ia berkata, inflasi juga meningkat dalam keadaan permintaan global yang terus kukuh, gangguan rantaian bekalan, harga komoditi yang lebih tinggi dan kekurangan tenaga kerja.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid memberitahu, polisi monetari BNM yang mengekalkan OPR pada kadar semasa menunjukkan kerajaan berkeyakinan kadar tersebut akan menyokong pemulihan ekonomi.
“Ia juga serentak dengan polisi fiskal yang diumumkan melalui Bajet 2022 baru-baru ini iaitu untuk menjana pemulihan ekonomi negara.
“Berdasarkan data-data seperti lebihan dagangan yang terus mencatatkan pertumbuhan positif serta keyakinan ekonomi global yang semakin pulih, maka kerajaan berpendapat negara di atas landasan pemulihan yang baik,” ujarnya. – UTUSAN










