PETALING JAYA: Untung bersih Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) merosot sebanyak 3.7 peratus kepada RM395.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021 daripada RM410.1 juta pada tahun lalu.
Menurut F&N, pernurunan disebabkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi, margin eksport yang lebih rendah, penstrukturan semula, perbelanjaan berkaitan Covid-19 dan bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat bersekutu.
“Penurunan keuntungan Kumpulan sebahagian dikurangkan oleh insentif cukai pelaburan di F&B Thailand dan aset cukai tertunda yang diiktiraf untuk F&B Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, pendapatan syarikat makanan dan minuman (F&B) itu meningkat kepada RM4.13 bilion bagi tempoh dilaporkan, berbanding RM3.99 bilion tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan dipacu oleh eksport perniagaan F&B yang kukuh di Malaysia dan Thailand, serta sumbangan daripada perniagaan makanannya dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
Syarikat itu turut mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 33.0 sen sesaham, sama dengan dividen pada tahun kewangan 2020 walaupun dalam persekitaran operasi yang sukar.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew berkata, tahun kewangan 2021 sudah pasti sukar bagi kedua-dua aspek permintaan dan kos.
Bagaimanapun katanya, syarikat kekal teguh dalam keutamaan jangka panjang dan melancarkan tonggak perniagaan keempat iaitu Makanan Berbungkus Halal dengan pemerolehan syarikat Sri Nona.
“Pada tahun ini, kami juga menyelaraskan keperluan perniagaan kami dengan peluang yang timbul daripada krisis Covid-19 dan teknologi digital sambil meletakkan kesejahteraan rakyat dan komuniti kami sebagai keutamaan.
“Sumbangan daripada kepelbagaian produk dan kewujudan serantau adalah kunci kepada prestasi berdaya tahan Kumpulan untuk tahun tersebut,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengurusan kos yang berhemat, serba sedikit telah mengurangkan beban harga komoditi yang lebih tinggi serta kos pengangkutan dan gudang yang meningkat.
Melangkah ke hadapan, Lim Yew berkata, Kumpulan akan kekal berhati-hati memandangkan keadaan pasaran yang mencabar dan ketidaktentuan global yang berterusan akibat pandemik Covid-19.
“Memandangkan ini adalah norma baharu, kami tidak mengharapkan pasaran akan kembali kepada keadaan pra-pandemik dalam jangka masa pendek. Inovasi akan menjadi kunci kepada prestasi yang berterusan.
“Eksport akan terus menjadi tumpuan utama pada masa hadapan untuk F&B Malaysia dan F&B Thailand.
“Kami tidak akan lari daripada melabur dalam keupayaan untuk memanfaatkan peluang baharu, sama ada untuk eksport berjenama kami sendiri atau pelanggan pengeluar peralatan tulen (OEM) utama,” katanya. – UTUSAN










