
Kemajuan teknologi digital telah membawa perubahan dalam kepelbagaian potensi, pilihan dan pengaruh gaya hidup masyarakat di seluruh dunia. Perubahan budaya yang berkembang pantas ini juga turut memberi impak terhadap evolusi cara bekerja, perhubungan dan saluran komunikasi pilihan dalam perkongsian dan penyebaran maklumat melalui rangkaian digital hari ini.
Kini, di antara transformasi digital yang semakin menjadi trending popular dalam kalangan pengguna maya adalah aktiviti penstriman secara langsung atau live streaming. Implikasi krisis pandemik serta inisiatif pemulihan ekonomi dalam fasa endemik ini juga turut menjadi faktor pencetus yang menyuburkan lagi budaya sosial ini sebagai salah satu landasan pilihan bagi tujuan hiburan, pendidikan dan perniagaan. Ia kini semakin menarik penglibatan ramai sebagai salah satu medium interaksi digital terkini yang akan terus berkembang pesat.
Dari aspek perniagaan, penstriman secara langsung juga menjadi landasan yang berpotensi dalam pelaksanaan strategi pengukuhan prospek pasaran. Ia menjadi salah satu saluran pemasaran dalam membina perhubungan melalui interaksi dan kreativiti yang selaras dengan aspirasi memanusiawi keberadaan digital. Ia amat membantu dalam menyokong pengukuhan pengaruh pasaran serta memperluaskan lagi capaian prospek dan pelanggan melalui penganjuran acara dan program secara live interactive bersama audiens platform digital dan media sosial.
Antara aplikasi penstriman secara langsung pilihan para pengusaha dan organisasi perniagaan kini adalah Open Broadcaster Software atau OBS Studio. Ia merupakan aplikasi live streaming dengan sumber terbuka (open source) yang disediakan secara percuma di ruangan digital untuk tujuan penstreaman langsung dan juga rakaman video. OBS Studio menyediakan beberapa versi merangkumi Windows, MacOS dan Linux dengan kelebihan ciri-ciri software yang ringan, malah boleh dipelajari untuk dikendalikan tanpa kepakaran teknikal yang tinggi mahu pun perkakasan komputer berspesifikasi canggih.
OBS Studio pada awalnya menjadi platform popular dalam kalangan para Gamers dan generasi muda untuk interaksi sosial secara real-time. Namun atas potensi pengguna yang semakin meningkat beserta kelebihan sistem pengaturan yang ditawarkan telah menarik perhatian pemain industri untuk dimanfaatkan dalam menyokong pengukuhan pasaran melalui penyampaian maklumat dengan pendekatan yang bersifat peribadi melalui interaksi langsung bersama audiens.
Ciri-ciri pengaturan yang disediakan juga dapat memudahkan pengguna dalam pengeditan audio, gambar serta paparan infografik melalui penstriman langsung untuk penyampaian berinformatif dan membina perhubungan komunikasi dua hala yang lebih berkesan melalui integrasi landasan media sosial seperti YouTube dan Facebook Live. Faktor tersebut turut menjadi salah satu kelebihan dalam mencipta kreativiti penyampaian secara langsung sebagai elemen pemasaran kandungan yang berimpak tinggi bagi tujuan menjayakan pelbagai aktiviti sosial dalam talian seperti dialog, sesi temubual serta kempen-kempen pemasaran dan promosi.
Selain itu, setiap penstriman secara langsung dengan OBS Studio juga boleh dirakam dan diulangsiar sebagai kandungan video ke beberapa landasan digital yang lain. Ini turut menarik sektor perniagaan dalam memanfaatkan OBS Studio sebagai platform membina aset kandungan dan input pemasaran dalam menerobos potensi jangka panjang pasaran secara lebih kos efektif dan berkesan.
OBS Studio boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.obsproject.com untuk paparan desktop atau aplikasi Aps Store iOS untuk peranti digital. Kemudahan penstriman secara langsung ini juga merupakan salah satu elemen dalam transformasi teknologi dan evolusi digital yang akan mempengaruhi trend gaya hidup masyarakat dan peralihan budaya pasaran.
Justeru, ia menjadi kepentingan bagi usahawan untuk terus fleksible dalam memanfaatkan peluang serta potensi dalam arus perubahan era Internet Kebendaan kini.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










