Peluang wujudkan pelaburan patuh syariah - Utusan Malaysia

Peluang wujudkan pelaburan patuh syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, terdapat sebanyak 746 syarikat patuh syariah tersenarai di Bursa Malaysia (Bursa) setakat Mei 2021. Ia merangkumi 80 peratus daripada keseluruhan 936 syarikat yang disenaraikan.

Di bawah kategori syarikat perkhidmatan kewangan, daripada 33 syarikat, hanya tiga atau sembilan peratus yang patuh syariah, iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Bursa dan Bank Islam Malaysia Berhad, yang baru-baru ini mengambil alih status penyenaraian BIMB Holdings Berhad.

Penyenaraian syarikat-syarikat perkhidmatan kewangan Islam ini penting kerana ia berupaya memberikan pulangan yang baik kepada pelabur. Namun hakikatnya, peluang untuk melabur di dalam syarikat perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia masih terhad. Peluang-peluang pelaburan baharu dalam sektor ini perlu diadakan.

Sebagai contoh, MBSB yang merupakan sebuah syarikat kewangan konvensional yang tersenarai di Bursa, telah mengambil alih Asian Finance Bank (AFB), sebuah bank Islam asing, di dalam usaha transformasinya menjadi institusi perbankan Islam. AFB yang dijenamakan semula sebagai MBSB Bank kini berpotensi menjadi syarikat perkhidmatan kewangan Islam yang tersenarai.

Langkah proaktif yang dilaksanakan oleh MBSB harus dicontohi oleh pemegang-pemegang taruh yang lain. Antara cadangan yang pernah dikemukakan oleh kepimpinan kanan industri kewangan Islam adalah penyenaraian Bank Muamalat Malaysia Berhad, penukaran status Affin Bank kepada institusi perbankan Islam dan penggabungan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) dengan sebuah institusi kewangan Islam.

Terdapat juga cadangan untuk mewujudkan satu instrumen “Saham-i” bagi kumpulan syarikat perkhidmatan kewangan seperti Maybank, CIMB dan RHB. Syarikat-syarikat yang tersenarai ini, memiliki anak syarikat institusi perbankan Islam seperti Maybank Islamic, CIMB Islamic dan RHB Islamic, yang menjadi penyumbang besar kepada pendapatan syarikat-syarikat tersebut.

Melalui kerangka instrumen Saham-i, kumpulan kewangan tersebut akan berupaya untuk menerbitkan saham-saham yang dikhususkan secara langsung untuk perniagaan perbankan Islamnya. Pemegang Saham-i akan mendapat dividen patuh syariah secara langsung daripada perolehan perniagaan perbankan Islam berkenaan.

Walaupun pelaksanaan Saham-i pastinya bukan urusan yang mudah, ia harus dipertimbangkan demi merancakkan lagi pembangunan kewangan Islam di Malaysia.

Untuk menjayakannya, kerjasama semua pemegang taruh, sangat diperlukan. Dalam negara sedang menghadapi cabaran pasca pandemik Covid-19, ia satu usaha yang harus dipertimbangkan dengan serius. Lebih-lebih lagi kerana potensinya mewujudkan ruang-ruang pelaburan patuh syariah yang baharu serta berimpak dan bernilai tinggi. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN