Peluang besar tarik pelaburan negara asing - Utusan Malaysia

Peluang besar tarik pelaburan negara asing

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mempunyai peluang besar untuk menarik pelaburan syarikat-syarikat dari United Kingdom (UK) bukan sahaja dalam sektor-sektor yang sudah dipelopori tetapi juga sektor-sektor strategik baharu.

Ia sekali gus memastikan pemulihan negara didorong oleh pertumbuhan pelaburan termasuk pelaburan langsung asing (FDI) dalam memastikan sektor strategik ekonomi negara seperti pembuatan, perkhidmatan terus berkembang, menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan lebih ramai rakyat Malaysia.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hubungan dagang antara Malaysia dan UK penting untuk kedua-dua negara.

Tambahan pula katanya, Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar UK dalam kala­ngan negara ASEAN.

Ujarnya, sebelum pandemik, nilai FDI dari UK ke Malaysia sebanyak GBP 3.7 bilion (RM20.78 bilion) dan syarikat-syarikat UK turut menyatakan hasrat untuk melabur sebanyak RM800 juta ke Malaysia dalam proses pemulihan ini.

“Antara sektor yang perlu diterokai bersama dengan lebih erat dalam era pemulihan negara ini adalah ekonomi digital, kesihatan awam terutamanya penyelidikan penyediaan pandemik masa hadapan, peralatan perubatan, kelestarian alam sekitar, pertahanan dan ke­selamatan.

“Sektor-sektor ini jika diba­ngun dan dijadikan sebahagian daripada rantaian bekalan glo­bal, Malaysia mampu membina semula kekuatan dan melon­jakkan ekonomi untuk menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas perbincangan meja bulat de­ngan Dewan Perniagaan Malaysia British (BMCC), di sini semalam.

Perbincangan itu diketuai Pengerusi BMCC, Abrar A. Anwar yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia bersama ahli-ahli BMCC yang merupakan ketua-ketua industri dan wakil-wakil syarikat UK yang beroperasi di Malaysia.

Perbincangan tersebut turut menyentuh komitmen pelabur dan syarikat asing terutamanya dari UK yang telah berkembang bersama-sama Malaysia untuk terus melabur di negara ini.

Muhyiddin memaklumkan, antara cadangan dikemukakan BMCC adalah permudahkan proses kemasukkan ke negara ini untuk tujuan industri, pendidikan dan sebagainya.

“Mereka turut mencadang­kan kepelbagaian insentif pelaburan supaya kos perniagaan dapat dikurangkan selain tempoh kelulusan yang lebih singkat supaya tidak menjejaskan pelaburan.

“Dalam kita bergerak ke hadapan dalam proses pemulihan negara, kita perlu terus ber­usaha meyakinkan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia. Malaysia terbuka untuk perniagaan dan keutamaan kita ialah pemulihan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×