PETALING JAYA: Pecca Group Berhad (Pecca) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) untuk pengembangan pasaran produk syarikat dan anak syarikatnya serta meneroka pembuatan alat ganti kenderaan elektrik (EV).
Pecca merupakan syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang terlibat terutamanya dalam pembuatan dan reka bentuk upholsteri kulit kenderaan.
Melalui MoU itu, MARii, sebuah agensi teknologi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan membangunkan peluang baharu untuk Pecca dalam usahanya mengembangkan keupayaan untuk menawarkan produk yang lebih kompetitif kepada jenama global.
Ia termasuk peningkatan kecekapan operasi proses perniagaan Pecca dengan menyepadukan sistem Industri 4.0, yang mana akan menyediakan dan melengkapkan Kumpulan dengan lebih baik untuk memenuhi semua keperluan pelanggan baharu.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka pembangunan keupayaan pembuatan automotif untuk pelbagai jenis alat ganti kenderaan termasuk EV, menjadikannya produk tempatan dan infrastruktur sokongan selepas jualan.
Hadir menyaksikan MoU itu ialah Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali. MoU itu akan berkuat kuasa untuk tempoh dua tahun bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Ts. Madani Sahari berkata, kerjsama itu merupakasan satu lagi contoh perkongsian awam-swasta untuk industri elektrifikasi di negara ini.
“Kami percaya ini adalah sumbangan penting ke arah elektrifikasi di Malaysia, selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang membayangkan kumpulan pembekal komponen automotif yang kukuh, menghasilkan komponen kritikal yang diperlukan untuk menjadikan NAP2020 satu realiti,” kata beliau.
Pengarah Urusan Kumpulan Pecca, Datuk Teoh Hwa Cheng pula berkata, pengecualian duti penuh untuk EV seperti yang dicadangkan dalam Bajet 2022, akan meluaskan pasaran bagi EV dan komponen khusus EV di negara ini.
“Justeru, kerjasama dengan MARii bermula hari ini akan menandakan satu perjalanan yang menarik untuk Kumpulan mula mengeluarkan produk baharu berkaitan segmen EV bagi menangkap peluang baharu dalam industri automotif dan mobiliti,” katanya. – UTUSAN










